suria

Malaysia Mampu Juara Sukan SEA 2017 - Marina

Marina bertemu dengan sebahagian atlet negara di pejabat baharu Chef de Mission Sukan SEA 2017 yang telah mula beroperasi di Casa 1 Majlis Sukan Negara Bukit Jalil pada Jumaat. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen Sukan SEA Malaysia 2017, Datuk Marina Chin yakin kontinjen negara mampu muncul juara keseluruhan temasya dwitahunan itu.

Beliau, yang juga bekas ratu trek negara, berkata berdasarkan prestasi atlet negara hari ini, beliau pasti peluang untuk muncul sebagai juara masih terbuka.

"Sekiranya saya tidak yakin, saya tidak mungkin akan menerima jawatan sebagai CDM (Chef de Mission).

"Saya akan pastikan atlet berada dalam landasan yang betul dan kita akan cuba sebaik mungkin bagi mencapai sasaran tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat CDM Sukan SEA 2017 di Majlis Sukan Negara (MSN) Jumaat.

Pejabat CDM dan Lounge Atlet Sukan SEA 2017 yang terletak di Casa 1 MSN itu pertama kali diwujudkan dan adalah khusus untuk Marina menjalankan tugas beliau selaku Ketua Kontinjen dan dalam masa yang sama atlet boleh menggunakan kemudahan yang disediakan di situ untuk beristirehat.

Pengumuman pelantikan Marina sebagai Ketua Kontinjen Sukan SEA 2017 dibuat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada 11 September lepas dan pengumuman itu dibuat dua tahun lebih awal bagi memastikan persiapan atlet melalui 'Program Kita Juara' dapat dipantau dengan awal dan teliti dalam usaha Malaysia untuk menjadi johan keseluruhan.

Menyentuh mengenai kemungkinan penambahan jumlah acara sukan untuk Sukan SEA 2017 oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Marina berkata fokusnya akan tertumpu kepada kebajikan atlet dan bukan jumlah sukan yang dipertandingkan.

"Saya tidak mahu hilang fokus...saya bertanggungjawab untuk membantu atlet menyelesaikan masalah mereka. Saya juga akan merujuk kepada pihak yang berwajib seperti Kementerian Belia dan Sukan, Institut Sukan Negara dan MOM jika perlu," kata Olahragawati Kebangsaan 1976 dan 1977.

Sementara itu, Marina berkata beliau juga akan menghadiri mesyuarat bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) bagi memantau program yang telah dirancang oleh mereka.

"Saya juga akan mendapatkan laporan mengenai proses latihan para atlet dan perkembangan semasa mereka dalam mesyuarat itu," katanya.

Kali terakhir Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan temasya Sukan SEA ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 2001 dengan mengumpul 111 pingat emas, 98 perak dan 86 gangsa. - BERNAMA

Sukan SEA, Marina Chin

Artikel Lain