suria

Vodickova, Alexander Sasar Gelaran Ironman 70.3 Putrajaya

Radka Vodickova.

PUTRAJAYA: Bekas juara, Radka Vodickova dari Republik Czech dan Craig Alexander, masing-masing menyasarkan kejuaraan Ironman 70.3 Putrajaya yang akan berlangsung Ahad ini bagi menebus kekecewaan tahun lepas.

Vodickova, yang menjuarai kategori wanita pada 2014, terpaksa mengetepikan saingan tahun lepas kerana dibelenggu kecederaan.

Namun kini kecederaan itu telah pulih dan Vodickova membuktikan kemampuannya dengan muncul naib juara di Ironman 70.3 Subic Bay, Filipina pada 6 Mac lepas, dan beliau percaya mampu mengulanginya di Putrajaya.

"Saya mula berlatih pada Disember lepas dan dalam tempoh tiga bulan sudah dapat melakukan latihan intensif. Saya jangkakan perlumbaan kali ini lebih mencabar terutama dalam keadaan cuaca yang panas ini.

"Dua tahun lepas saya memenanginya dan kini saya kembali untuk mengulanginya. Saya jangka edisi kali ini lebih menarik kerana bukan sahaja berdepan cuaca tetapi juga bahang saingan," katanya yang menyertai Sukan Olimpik 2012 London di sini Jumaat.

Sementara itu, Alexander dari Australia yang muncul naib juara kategori lelaki tahun lepas, mahukan kejayaan sulung di Putrajaya.

"Saya akan melakukan yang terbaik. Tahun ini saya lebih cergas dan menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlumbaan terakhir. Persiapan tahun ini juga sangat baik dan konsisten. Saya pasti mempunyai peluang baik kali ini," katanya yang menjuarai Ironman 70.3 Subic Bay Filipina awal bulan ini.

Ironman 70.3, yang turut dikenali sebagai Separuh Ironman, membabitkan acara renang sejauh 1.9km diikuti berbasikal 90km dan larian 21.1km.

Kira-kira 1,300 atlet dari 51 negara mengambil bahagian untuk edisi tahun ini. - BERNAMA

Radka Vodickova, ironman, Putrajaya

Artikel Lain