suria

Valencia Pecat Gary Neville Sebagai Ketua Jurulatih

VALENCIA telah memecat ketua jurulatih Gary Neville selepas mencatat keputusan hambar sepanjang empat bulan menguruskan kelab itu.

Neville dilantik menguruskan Valencia pada Disember lalu dengan kontrak sehingga hujung musim ini.

Bagaimanapun keputusan perlawanan tidak memihak kepada Neville dengan mencatat empat kekalahan dalam lima perlawanan terakhir.

Ia menyebabkan pemilik kelab Peter Lim terpaksa membuat keputusan memecatnya.

“Kelab Bola Sepak Valencia telah memecat Gary Neville sebagai ketua jurulatih.

“Selepas menilai pelbagai faktor, pihak kelab telah memutuskan untuk membuat perubahan bagi kepentingan Valencia FC musim ini.

“Kami berterima kasih kepada Gary di atas usahanya di kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya,” jelas kenyataan kelab.

Valencia memaklumkan keputusan itu kepada Neville selepas England tewas 2-1 kepada Belanda dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley awal pagi Rabu.

Neville merupakan pembantu jurulatih kepada skuad bimbingan Roy Hodgson di England.

Sebagai rekod jurulatih di Valencia, Neville hanya mencatat 10 kemenangan daripada 28 perlawanan keseluruhan.

Ia menyebabkan penyokong-penyokong Valencia memprotes Neville sebagai jurulatih.

“Saya ingin berterima kasih kepada kelab Valencia, penyokong, jurulatih, kakitangan kelab serta semua pemain.

“Saya sangat menyukai tugas yang diberikan ini, tetapi saya gagal memenuhi permintaan kelab selepas 28 perlawanan, kami hanya mencatat sepuluh kemenangan, tujuh seri dan sebelas kali tewas,” ujar Neville.

Bekas pembantu jurulatih Liverpool dan Valencia, Pako Ayestaran dilantik menggantikan Neville sehingga tamat musim ini.

Gary Neville, Valencia, Dipecat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain