suria

Kerajaan Johor Sumbang Lebih RM10 Juta Untuk PBNJ

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor hari ini menyumbang lebih RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bagi mengiktiraf usaha keras persatuan itu memajukan bola sepak di negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sumbangan itu merangkumi insentif sebanyak RM149,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas kejayaan merangkul Piala Sumbangsih 2016, serta RM10 juta lagi untuk pembangunan bola sepak negeri.

Beliau berkata ketika mentadbir urus, PBNJ telah melakukan pelbagai penambahbaikan sehingga JDT mencapai kemajuan mendadak dalam tempoh yang singkat.

"Kejayaan ini bermakna dalam menaikkan nama Johor bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di seluruh rantau Asia.

"Justeru, saya berharap sumbangan ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pencapaian kecemerlangan yang lebih baik khususnya dalam mencungkil bakat tempatan untuk diangkat sebagai wira bola sepak negeri kita dan seterusnya kebangsaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan berkenaan di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor Mohd Radzi Mohd Amin.

Justeru, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri berharap kejayaan dikecapi JDT akan menjadi pembakar semangat kepada sukan lain di negeri berkenaan untuk mengejar kecemerlangan dan meningkatkan prestasi masing-masing.

Sementara itu, Presiden PBNJ Datuk Ismail Karim menyifatkan sumbangan itu dapat membantu pihaknya melaksanakan pelbagai program pembangunan terutama di peringkat akar umbi.

"Ia akan membantu kami mengoptimumkan segala perancangan dan berharap pasukan akan terus meraih kejayaan serta melahirkan pelapis yang mampu menyamai atau mengatasi tahap kejayaan pasukan sedia ada," katanya.-Bernama

PBNJ, Kerajaan Johor, RM10Juta

Artikel Lain