suria

Terbuka India: Kien Keat-Boon Heong Kandas Pusingan Pertama

Boon Heong (kiri) dan Kien Keat.

KUALA LUMPUR: Bekas beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong tersingkir daripada Kejohanan Terbuka India selepas tunduk kepada pasangan Korea Selatan pada seawal pusingan pertama pada Rabu.

Dalam saingan di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi, beregu profesional negara tewas kepada bergu pilihan kedua, Kim Gi Jung/Kim Sa Rang dengan 12-21 dan 21-23.

Bagaimanapun, dua wakil beregu negara melangkah ke pusingan kedua selepas masing-masing menundukkan beregu China.

Beregu utama negara, Goh V. Shem dan Tan Wee Kiong menampilkan aksi membanggakan apabila mengejut pilihan kelapan, Lin Junhui/Liu Yuchen 21-19 dan 21-18. Bekas beregu negara, Hoon Thien How dan Teo Kok Siang turut mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Liu Cheng/Lu Kai dalam rubber set 21-14, 15-21 dan 21-18.

Sementara itu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang memburu gelaran keempat Terbuka India, akan membuka kempen dengan menentang pemain Jepun, Kazumasa Sakai, lewat malam Rabu.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$300,000 (RM1.17 juta). -Bernama

Terbuka India, Kien Keat, Boon Heong

Artikel Lain