suria

Ahmad Bashah Buka ‘Laluan Khas’ Untuk Penyokong Helang Merah

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan mengadakan pertemuan ‘hati ke hati’ dengan beberapa kelab penyokong negeri itu pada Rabu malam.

Menurut sumber di Alor Star, KFA menjemput sembilan kelab penyokong berpengaruh yang bertapak di negeri itu bagi membincangkan mengenai kerjasama yang boleh dimainkan kedua-dua pihak demi pembangunan sukan berkenaan.

Bagaimanapun sehingga berita ini ditulis, difahamkan hanya enam kelab penyokong bola sepak di Kedah menyatakan persetujuan untuk hadir dalam pertemuan berkenaan.

Baki tiga lagi kelab penyokong termasuk Ultras Kedah bagaimanapun menolak jemputan berkenaan secara terbuka menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook mereka.

"Ini adalah platform untuk Presiden KFA dan penyokong berbincang dan mengenal pasti apa yang boleh dibuat untuk membangunkan bola sepak.

"Pertemuan malam ini lebih kepada program suai kenal antara Presiden KFA dengan penyokong dan peminat bola sepak Kedah," kata sumber berkenaan kepada mStar Online di sini, Rabu.

Pertemuan itu dijadual diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon pada pukul 8 malam.

Selepas dilantik sebagai Presiden KFA pada 24 Mac lalu, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah dilihat bersifat terbuka untuk menyatukan semua kelab penyokong pasukan Helang Merah itu.

"Ini laluan khas yang dibuka oleh Presiden KFA kepada semua penyokong Kedah.

"Beliau sememangnya ingin mengetahui peranan yang boleh dimainkan KFA untuk membantu kelab penyokong," kata sumber itu lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain