suria

Kim Swee Kecewa Prestasi Harimau Malaysia

Pemain Malaysia, Norsahrul Iddlan Talaha (kanan) berebut bola dengan pemaiin Macau, Cheang Cheng Leong dalam perlawanan persahabatan kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat, Selasa malam. Foto: Bernama

MELAKA: Kegagalan skuad Harimau Malaysia melakar kemenangan ke atas Macau dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium HangJebat, Krubong pada Selasa malam, mengecewakan ketua jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee berkata keputusan terikat tanpa jaringan berdepan pasukan berkenaan, yang berada di ranking lebih rendah dari Malaysia, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Beliau juga kecewa dengan jentera serangan negara yang gagal menjaringkan gol walaupun memiliki banyak peluang berbuat demikian.

"Sudah tentu saya tidak boleh terima (keputusan malam ini), begitu juga pemain dan penyokong. Mereka mahukan kemenangan tetapi apa yang kita lakukan tidak mencukupi...kita perlu perbaiki prestasi.

"Kita menguasai permainan tetapi gagal memanfaatkan peluang. Kita harus belajar daripada perlawanan ini," katanya selepas perlawanan tersebut.

Sementara itu, ketua jurulatih Macau Tam Lao San berkata pasukannya terpaksa menggunakan corak permainan bertahan bagi mengekang asakan pemain tuan rumah.

"Malaysia beraksi lebih baik...menampilkan corak permainan pantas tetapi kita bermain sebagai sebuah pasukan dan saya benar-benar berpuas hati dengan prestasi pemain saya," katanya.

Untuk rekod, Malaysia berada di ranking ke-166 dunia, manakala Macau d ikedudukan ke-195-Bernama

Ong Kim Swee, Macau

Artikel Lain