suria

Sukan Olimpik: MOM harap Medal Daripada Tiga Sukan

Tunku Imran (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah OCM 2015-2017 di Wisma OCM pada Selasa. Turut kelihatan Setiausaha Agung Datuk Low Beng Choo (tiga, kiri) dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (dua, kanan). Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menaruh harapan kepada atlet negara daripada tiga jenis sukan untuk meraih pingat di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.  

Presidennya Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata tiga sukan itu ialah badminton, berbasikal dan terjun yang mungkin mempunyai peluang yang baik untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara. 

"Atlet kita dalam tiga sukan ini berkeupayaan untuk menyumbang pingat ...kita tidak boleh bandingkan atlet kita dengan lain-lain atlet kerana dalam kejohanan di peringkat Asia kita mampu tetapi dalam konteks Olimpik kita mungkin bukannya pesaing untuk pingat, Tunku Imran memberitahu Bernama, selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM pada Selasa. 

Tambahan pula, Tunku Imran berkata selaku Presiden MOM beliau tidak mahuterlalu tegas dalam menetapkan sasaran untuk kontinjen Malaysia dalam kejohanan ini biarpun sasaran asal beliau hanya untuk melihat atlet mencapai pencapaian terbaik masing-masing.

"Kita pilih mereka untuk mewakili negara dalam kejohanan utama, mereka mesti menunjukkan prestasi yang lebih baik dari sebelumnya," kata Tunku Imran menambah bahawa beliau mahu rakyat Malaysia berbangga dengan atlet negara yang layakuntuk ke Sukan Olimpik.

Tunku Imran juga menjangkakan antara 20 hingga 30 atlet akan layak untuk ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

"Pada masa ini kita mempunyai 12 atlet yang layak ke Olimpik dalam limajenis sukan iaitu kapal layar, menembak, memanah, akuatik (terjun dan renang) dan berbasikal. Diharap, bilangan atlet yang layak meningkat kerana masih ada potensi menerusi penyertaan secara 'wildcard' dan juga menerusi badminton. Jadi saya jangkakan antara 20 ke 30 atlet akan ke Rio," katanya.  

Setakat ini, 12 atlet negara yang layak secara merit ke Sukan Olimpik Rio ialah Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri (terjun), Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal), Jonathan Wong (menembak), Welson Sin (renang), Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin (kapal layar).

Sementara itu, beliau berkata Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia, Muhammad Fadzli Johan dipilih sekali lagi sebagai ketua kontinjen tetapi kali ini untuk Sukan Musim Sejuk Asia Sapporo, Jepun tahun hadapan.

Tunku Imran berkata lembaga eksekutif MOM memilih Muhammad Fadzli yang mereka rasakan mampu bekerjasama rapat dengan semua pihak dan juga menjaga kebajikan atlet terlibat. -Bernama

Sukan Olimpik, Rio, Tunku Imran

Artikel Lain