suria

Wei Feng, Zulfadli Hambar Di Terbuka India

Chong Wei Feng.

KUALA LUMPUR: Prestasi dua pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli semakin hambar apabila gagal mara ke undian utama Kejohanan Siri Super Terbuka India.

Kedua-dua pemain itu terkandas pada pusingan kedua peringkat kelayakan di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi, Selasa.

Wei Feng yang meraih kemenangan tipis ke atas pemain tuan rumah, Kaushal Dharmamer 24-22, 21-19 pada pusingan pertama, bagaimanapun gagal mengekalkan rentak kemenangan apabila mudah ditewaskan Kenta Nishimoto dari Jepun, 18-21, 11-21 dalam perlawanan keduanya.

Turut berkongsi nasib sama, Zulfadli yang mudah menewaskan pemain tuan rumah, Pratul Joshi 21-9, 21-13 pada pusingan pertama sebelum kalah kepada Kazumasa Sakai dari Jepun 18-21, 17-21 pada pusingan berikutnya.

Pusingan pertama kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan US$300,000 (RM1.2 juta) bakal menyaksikan penampilan pemain nombor tiga dunia, Datuk Lee Chong Wei yang dijadualkan bertemu pemain daripada pusingan kelayakan pada Rabu.

Chong Wei pernah menjuarai kejohanan itu sebanyak tiga kali iaitu pada 2011, 2013 dan 2014.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan memulakan saingan pertama menentang gandingan tuan rumah D. Chandra Kumar-Brijesh Yadav.

Satu lagi pasangan negara, Hoon Thien How-Teo Kok Siang akan menentang Liu Cheng-Lu Kai dari China manakala beregu veteran negara, Koo Kien Keat-Tan Boon pula berdepan pilihan kedua kejohanan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain