suria

Benteke Buntu Dengan Sikap Dingin Klopp

Klopp dilihat mengarahkan sesuatu kepada Benteke ketika perlawanan bertemu Southampton Sabtu lalu.

PENYERANG Liverpool, Christian Benteke buntu dengan sikap dingin pengurus Jurgen Klopp yang tidak mengendahkannya.

Penyerang antarabangsa Belgium itu hanya merakam lapan gol daripada 35 perlawanan keseluruhan dan salah satunya hadir tahun ini menerusi sepakan penalti.

Malah Benteke hanya disenaraikan lima kali dalam barisan utama bagi 16 perlawanan sejak Disember lalu dan dapat Klopp lebih berminat kepada Daniel Sturridge dan Divock Origi.

Ketika aksi tewas kepada Southampton Sabtu lalu, Klopp dilihat bercakap sesuatu kepada Benteke di tepi padang.

“Sesetengah rakan sepasukan memberitahu bahawa saya sangat bertuah dengan ketibaan Klopp kerana sudah tentu saya boleh beraksi,” jelasnya kepada Majalah Sukan Belgium.

“Apabila jurulatih memberitahu akan membawa kamu ke Dortmund dan selepas itu kamu masih berada di kelab yang sama, malah tidak menghiraukan kamu, ia adalah perkara yang sukar difahami.

“Bagi saya ia sesuatu yang pelik. Saya boleh bermain, mampu melakukan banyak pergerakan.

“Pada Januari lalu, saya tidak mahu meninggalkan kelab ini dan masih bersemangat untuk beraksi di Liverpool. Kita tunggu sehingga hujung musim ini,” tambahnya.

Menurut Benteke, dia tidak akan meyertai Liverpool jika sedar peluang bermain yang terhad, bukan seperti sebelum ini.

“Sebelum ini saya membayangkan karier akan stabil dan boleh menamatkan kerjaya bersama kelab ternama. Tetapi kini saya menghadapi tempoh sukar dan percaya ia akan berakhir.

“Saya bermain penuh hanya untuk dua perlawanan sejak Klopp menguruskan skuad ini.

“Ketika bertemu Leicester, saya menjaringkan gol. Seterusnya bertemu Sunderland, saya turut mencatat gol dan selepas itu kami tewas kepada West Ham.

“Sejak itulah saya selalu diketepikan”.

Christian Benteka, Jurgen Klopp

Artikel Lain