suria

Selangor Hidupkan Peluang Ke Pusingan Kedua Piala AFC

KUALA LUMPUR: Selangor kembali menghidupkan peluang ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menang tipis 4-3 ke atas wakil Bangladesh, Kelab Sheikh Jamal Dhanmondi Ltd pada aksi ketiga Kumpulan E di Stadium Nasional Bangabandhu, Bangladesh, Selasa malam.

Kemenangan sulung selepas dua perlawanan itu, bagaimanapun tidak mengubah kedudukan skuad Gergasi Merah yang kekal di tangga ketiga kumpulan dengan kutipan empat mata.

Pada aksi disiarkan secara langsung menerusi TV9, Selangor dikejutkan dengan jaringan pembukaan pemain import dari Gambia, Landing Darboe pada minit ke-28 menerusi percubaan daripada luar kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor kembali memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Patrick Ronaldinho Wleh yang menanduk masuk bola hasil hantaran Mauro Olivi pada minit ke-38.

Keputusan 1-1 itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor kembali mengasak dan berjaya menggandakan kedudukan menerusi R. Gopinathan yang mudah menolak masuk bola menerusi hantaran silang Patrick pada minit ke-53.

Kelekaan barisan pertahanan Selangor membawa padah apabila pasukan tuan rumah meraih dua jaringan pantas menerusi Emeka Onuoha dan kapten pasukan Wedson Alselme, masing-masing pada minit ke-64 dan 65.

Mauro Olivi menyamakan kedudukan untuk Selangor pada minit ke-69 selepas menolak masuk bola hantaran Patrick, sebelum mengesahkan tiga mata pertama untuk skuad Gergasi Merah menerusi gol kemenangan pada minit ke-82.

Dalam pada itu, pendahulu Kumpulan E, Tampines Rovers dari Singapura terus kekal menerajui Kumpulan E walaupun seri 1-1 menentang wakil Filipina, Ceres La Salle FC di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Muhammad Hafiz Abu Sujad meletakkan skuad 'The Stags' di hadapan menerusi gol pada minit ke-69 sebelum Adrian Gallardo menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-88.

Selangor akan berdepan kelab Bangladesh itu di Stadium Shah Alam, manakala Ceres La Salle FC menanti kunjungan Tampines Rovers di laman sendiri, pada aksi keempat Kumpulan E, 12 April ini. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain