suria

Chong Wei Tak Gentar Prestasi Konsisten Lin Dan

Lee Chong Wei (kiri) sebaik pulang dari Kejohanan Badminton Seluruh England di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Selasa. Foto Bernama

SEPANG: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang tersingkir di pusingan awal Kejohanan Seluruh England baru-baru ini, tidak gentar dengan prestasi konsisten musuh tradisinya, Lin Dan.

Chong Wei berkata, prestasi cemerlang pemain China itu tidak menjejaskan tumpuannya dalam persiapan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.

"Saya lihat pada dua kejohanan, Terbuka Jerman dan All England, beliau (Lin Dan) menunjukkan permainan yang terbaik.

"Bagi saya, persediaan diri sendiri memainkan peranan penting untuk mengatasi pemain yang sedang berada di tahap kemuncak," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Selasa.

Jaguh perseorangan negara itu tersingkir pada pusingan pertama Seluruh England, selepas tewas mengejut kepada pemain bukan pilihan B. Sai Praneeth dari India, minggu lepas.  

"Tidak semestinya dalam semua kejohanan, pemain itu boleh menunjukkan prestasi terbaik. Walaupun kalah di All England, saya tidak putus asa, saya akan cuba perbaiki lagi prestasi," kata Chong Wei.

Chong Wei dijadual menyertai Terbuka India pada 29 Mac hingga 3 April serta  Terbuka Malaysia dari 5-10 April ini. 

"Saya sudah berbincang dengan Hendrawan (jurulatih perseorangan lelaki), latihan selepas ini perlu lebih gigih lagi. Lima bulan persediaan bukan tertumpu pada tahap kecergasan fizikal sahaja, malah juga mental. Ia Sukan Olimpik terakhir bagi saya," katanya.

Dalam pada itu, Hendrawan berkata, saingan Chong Wei bukan sahaja tertumpu kepada Lin Dan dan Chen Long dari China sahaja. 

"Pemain muda (dari negara-negara lain) juga menunjukkan mereka sudah bersedia. Sekarang tidak boleh memandang rendah lawan pada pusingan awal," kata jurulatih dari Indonesia itu. - Bernama

Lee Chong Wei, Lin Dan

Artikel Lain