suria

Piala FA: Kelantan Berputih Mata, Kedah Mara

Pemain Kedah, Khairul Helmi (tiga,kiri) diraikan rakan pasukannya selepas berjaya menjaringkan gol pada perlawanan Piala FA antara Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman, malam Jumaat. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Kelantan tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 5-4 kepada Kedah menerusi penentuan penalti pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Darul Aman, malam Jumaat.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan menerusi jaringan Johathan McKain dan Khairul Helmi Johari.

Namun aksi kedua-dua pasukan terpaksa berlanjutan sehingga ke masa tambahan yang menyaksikan beberapa deretan peluang gagal disudahkan, menyebabkan kemenangan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kedah terlebih dulu mengambil sepakan penalti yang disudahkan Sandro Da Silva sebelum diikat 1-1 oleh Jonathan McKain.

Penyerang import Kedah, Carlos Kahe menjadikan kedudukan 2-1 sebelum penalti oleh Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan untuk 2-2.

Debaran kian dirasai apabila Syafiq Ahmad turut menyempurnakan sepakan penalti ketiga, diikuti oleh Wan Zack Haikal Wan Noor bagi kedudukan 3-3, sebelum Bang Seung Hwan dan Jonatan Lucca masing-masing menyempurnakan sepakan penalti untuk kedudukan 4-4.

Sepakan penalti kelima disempurnakan oleh Liridon Krasniqi, namun kegagalan Khairul Izuan Rosli selaku pengambil sepakan penalti terakhir menyebabkan Kelantan berputih mata.

Tendangan Khairul Izuan terkena tiang gol, sekali gus menyaksikan tuan rumah mara ke suku akhir menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PDRM.

Kelantan, Kedah, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain