suria

Chong Wei Setuju Sertai Program Podium

Chong Wei bersama anaknya, Kingston di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Jumaat. Foto: S.S.KANESAN/The Star

KUALA LUMPUR: Ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akhirnya bersetuju menandatangani kontrak menyertai Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN). 

Pemain nombor dua dunia itu berkata beliau akan menandatangi kontrak berkenaan selepas pulang daripada beraksi di kejohanan Seluruh England nanti. 

Jelasnya beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia danSukan, Khairy Jamaluddin dan ISN mengenai beberapa isu berhubung penajaan dalam kontrak yang ditawarkan itu.

"Dalam perbincangan itu, menteri faham situasi saya. Beliau dan ISN bersetuju mengubah kandungan kontrak agar tidak timbul konflik dengan penaja peribadi saya," katanya kepada pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Jumaat.

Chong Wei berkata sebagai ikon sukan negara, beliau sentiasa menyokong usaha kerajaan mempertingkatkan prestasi atlet negara.

"Sebagai atlet negara, saya memang perlu menyokong program ini dan saya akan tandatanganinya sebaik pulang daripda kejohanan Seluruh England," kata Chong Wei.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Chong Wei masih meneliti kontrak Program Podium kerana bimbang akan menimbulkan konflik kerana beliau mempunyai komitmen terhadap penaja peribadi. 

Susulan daripada itu, Khairy dalam kenyataannya memaklumkan ISN sudah menghantar kontrak baharu yang dibuat pindaan supaya tidak bercanggah dengan komitmen Chong Wei dengan penajanya. 

Selain Chong Wei, pemain badminton lain yang turut tersenarai menyertai program berkenaan ialah Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying,Vivian Hoo dan Woon Khe Wei.-Bernama

Lee Chong Wei, Program Podium

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain