suria

Strategi Tidak Menjadi Punca Kekalahan Tok Gajah

Penjaga gol Terengganu Md Sharbinee Allawee (tengah) cuba menangkap bola diasak pemain Pahang Mohd Faizal Abdul Rani (kiri) pada aksi bolasepak Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam Selasa. -fotoBERNAMA

KUANTAN: Kegagalan berkomunikasi dengan baik dalam kalangan pemain pertahanan jelas meresahkan pengendali pasukan Pahang FC, Ahmad Shaharuddin Rosdi yang mahu kesilapan itu tidak berulang lagi.

Menurutnya, masalah itu menyebabkan gawang skuad Tok Gajah dibolosi dua kali ketika pertemuan dengan Terengganu FA yang menyaksikan Pahang tewas 1-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam Selasa.

"Perkara ini perlu kita perbetulkan agar ia tidak lagi berulang dan saya juga akan meneliti jika pasukan ini memerlukan rombakan menjelang perlawanan Sabtu nanti," katanya.

Ahmad Shaharuddin mengakui strategi yang tidak menjadi menyebabkan Pahang FC tewas, selain kegagalan anak buahnya untuk bangkit selepas ketinggalan 0-2 walaupun berpeluang menyamakan kedudukan.

"Pemain saya tidak meneruskan apa yang telah dirancang sebelum ini dan semua yang dilakukan mereka tidak menjadi," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Gol tunggal Tok Gajah dihasilkan Salamon Raj pada minit ke-48 selepas Terengganu selesa di depan dengan dua jaringan Muhd Amirul Syahmi Ashari pada minit ke-14 dan 24.

Ahmad Shaharuddin berkata beliau akan meneliti dan memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan itu bagi memastikan Pahang FC kembali mencatat kemenangan.

Pengendali itu berkata setakat ini beliau masih memberi peluang kepada pemain untuk membuktikan kewibawaan dan mempamerkan aksi lebih baik pada saingan liga walaupun empat keputusan dicatatkan sebelum ini tidak memuaskan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turut memberikan nasihat kepadanya untuk meningkatkan persembahan skuad itu.

Pahang FC yang mencatat satu keputusan seri dan tewas tiga kali masih menghuni tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengutip satu mata. - BERNAMA

Tok Gajah, Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain