suria

United Kelab Terakhir Saya - Van Gaal

Louis van Gaal.

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal memberi bayangan bahawa Red Devils merupakan kelab terakhir yang diterajuinya sebelum bersara dari arena bola sepak.

Namun, beliau menafikan tekanan yang dihadapinya di Old Trafford merupakan punca utama yang akan menyebabkan beliau berundur dari karier tersebut.

Kedudukan Van Gaal di Old Trafford ibarat di hujung tanduk apabila gagal menghadiahkan sebarang kemenangan untuk Red Devils dalam lapan perlawanan setakat ini.

United kini menduduki tempat keenam dengan mengutip 30 mata, ketinggalan sembilan mata dibelakang pendahulu, Arsenal.

Namun keputusan seri 0-0 dengan Chelsea di gelanggang sendiri, awal pagi Selasa lalu memberi sedikit kelegaan kepada Van Gaal.

Ia seolah-olah memberi jaminan bahawa kedudukannya masih lagi selamat.

Pada masa sama, Van Gaal mendedahkan beliau dapat melihat anak buahnya sudah kembali ke landasan yang betul semula.

"Saya sentiasa melakukan tugas saya. Anda perlu lakukan apa yang diamanahkan kepada anda.

"Ada di kalangan kakitangan saya datang bertanya kepada saya dengan berkata bos, bagaimana saya boleh membantu anda atau dengan cara lain? Saya katakan anda boleh bantu saya dengan melakukan apa yang anda perlu lakukan. Barulah saya berpuas hati.

"Saya juga mengharapkan pemain saya melakukan perkara yang sama. Ini bukan kelab pertama saya. Ia mungkin menjadi kelab terakhir seperti yang saya katakan, tetapi ia bukan kelab pertama di mana saya alami tempoh yang sukar," katanya.

Ketika ditanya sama ada tekanannya sudah reda, Van Gaal berkata: "Saya tidak pasti kerana tekanan juga apa yang anda lalui sendiri dan juga pemain kerana mereka perlu menunjukkan prestasi cemerlang pada masa-masa tertentu."


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain