suria

Rooney Akui Skuad United Berjuang Untuk Van Gaal

WAYNE Rooney mengakui semua pemain Manchester United memberi sokongan sepenuhnya kepada pengurus mereka, Louis van Gaal.

Kedudukan jurulatih dari Belanda itu semakin goyang berikutan keputusan beberapa minggu ini tidak berpihak kepadanya sehingga United terkeluar daripada empat kelompok teratas Liga Perdana Inggeris.

Tekanan yang dihadapi Van Gaal itu menyebabkan dia beredar selepas lima minit berada dalam sidang media pada Khamis dan menganggap pihak media tidak memberi layanan yang adil kepadanya.

Bagaimanapun Rooney yang turut berdepan dengan aksi sukar musim ini tampil mempertahankan Van Gaal.

“Beberapa minggu lepas keputusan perlawanan tidak begitu baik. Ia amat mengecewakan, namun sudah menjadi tugas kami untuk berdepan dengannya dan terus cuba untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.

“Kamu berjuang untuk pengurus dengan cuba mendapatkan keputusan positif, namun sebaliknya berlaku,” jelas Rooney.

Dalam pada itu, Rooney mengakui turut kecewa dengan beberapa kritikan yang dilemparkan kepadanya musim ini.

“Tidak elok jika kami dikritik setiap perlawanan. Ia sangat sukar dan kami juga kecewa.

“Saya boleh menerima apa sahaja yang ditulis, tetapi ia tidak elok jika keluarga saya melihatnya. Saya yakin prestasi akan lebih baik.

“Saya bekerja keras untuk meningkatkan prestasi diri sendiri seterusnya memberi yang terbaik kepada pasukan,” jelas kapten United itu.

United bakal berkunjung ke Stoke pada 'Boxing Day’ Sabtu ini dengan penuh berhati-hati agar tidak lagi tewas untuk kali keenam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain