suria

Iskandar Perlu Cabar Diri Sendiri - Chong Wei

Chong Wei kini berada di ranking kelima dunia.

KUALA LUMPUR: Juara badminton kebangsaan, IskandarZulkarnain Zainuddin perlu mempunyai kemahuan tinggi dan lebih mencabar diri sendiri untuk menyerlah di pentas antarabangsa.

Nasihat untuk Iskandar itu datang daripada jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, pemain yang mula mencipta nama sejak 2003 sehingga kini dan dianggap paling konsisten dalam badminton antarabangsa berikutan kemahuan tingginya untuk berjaya.

Bagi Chong Wei, Iskandar, 24, mampu pergi lebih jauh sekiranya lebih bersungguh-sungguh dalam latihan serta pertandingan.

"Prestasi Iskandar semakin meningkat tahun ini dan saya harap Iskandar tidak mudah putus asa dalam buruan mencipta nama," katanya.

Pemain nombor lima dunia itu mudah menewaskan Iskandar 11-6, 11-5, 11-5 pada kejohanan Purple League yang juga merupakan pertemuan pertama kali antara Chong Wei yang mewakili Kelab Badminton Petaling Jaya dan Iskandar yang mewakili Kelab Badminton Petaling.

"Bagi saya, Iskandar sendiri perlu tahu apa yang dia mahu, dia bukan muda lagi. Saya tengok semangat Iskandar berbeza tahun ini.

"Jurulatih mungkin boleh bantu 20 hingga 30 peratus sahaja, selebihnya harus datang daripada kemahuan sendiri," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Chong Wei juga yakin prestasi Iskandar yang semakin baik tahun ini mampu menempatkan pemain itu dalam skuad Piala Thomas negara tahun depan.

Namun bekas pemain nombor satu dunia itu tidak mahu Iskandar terlalu cepat berpuas hati sekiranya terpilih menjadi pemain perseorangan ketiga nanti.

"Jangan cepat gembira, sebaliknya dia kena terus berusaha keras dan lebihbersemangat," kata Chong Wei.

Iskandar pula mengakui memerlukan masa untuk menjadi sepantas Chong Wei ketika beraksi di gelanggang.  

"Saya selalu berlatih dengan Chong Wei dan ia bukannya mudah, persediaannya memang bagus, prestasi saya hari ini pun belum konsisten.

"Sebelum main tadi, Chong Wei suruh saya bermain bermati-matian dan cuba main sepantasnya, memang nampak kelam kabut sikit sebab dia begitu pantas,"akuinya.

Iskandar turut berterima kasih kepada Chong Wei yang banyak membantu dirinya kebelakangan ini dalam meningkatkan prestasi. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain