suria

Bekas Atlet Olimpik Hassan Osman Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bekas atlet olahraga negara, Mohd Hassan Osman meninggal dunia akibat penyakit kencing manis dan jantung di Cherating, Pahang pada Rabu.

Adik Allahyarham, Khalid Osman berkata abangnya Allahyarham Mohd Hassan, 68, meninggal dunia ketika sedang bekerja di sebuah chalet di Cherating, selepas terjatuh dan jenazahnya dibawa ke Pulau Pinang untuk dikebumikan tengah hari tadi.

Allahyarham meninggalkan isteri serta enam anak. Allahyarham merupakan anggota kuartet 4x400 meter negara yang beraksi di Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

Walaupun tidak meraih sebarang pingat, kuartet yang di barisi HassanOsman, Baba Singhe Peyadesa, Sinnayah Sabapathy dan Tambusamy Krishnan telah mencipta rekod kebangsaan.

Allahyarham turut membantu kuartet 4x400m negara meraih pingat gangsa di Sukan Asia di Bangkok pada 1970.  Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Malek Noor berkata pencapaian Allahyarham Mohd Hassan dalam sukan olahraga perlu menjadi contoh kepada atlet muda.

"Allahyarham merupakan atlet negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik. Walaupun tidak menyumbang pingat, standard sukan olahraga ketika itu tinggi dan membanggakan negara.

"Saya berharap keluarga Allahyarham tabah dan bersabar dengan pemergiannya. Kami (YAKEB) bersedia membantu keluarga Allahyarham," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Malek Noor berkata YAKEB akan menyalurkan bantuan RM20,000 kepada keluarga Allahyarham. -Bernama

Artikel Berikut

Michel Platini Kecewa

Artikel Lain