suria

Kedah Lakukan Rombakan, Gugur Lima Pemain

NAIB juara Piala Malaysia, Kedah melakukan rombakan terhadap skuad itu dengan menggugurkan lima pemain walaupun berjaya muncul sebagai juara Liga Premier.

Meskipun kempen Liga Malaysia baru sahaja melabuhkan tirai pada Sabtu lalu, namun Kedah telah melakukan pelbagai persiapan bagi mengharungi saingan Liga Super tahun depan.

Dalam rombakan itu, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menggugurkan lima pemain tempatan selain telah mengikat pemain import dari Brazil untuk menggantikan Chidi Edeh.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Jeffery Low Han Chow berkata, pengguguran lima pemain yang tidak didedahkan nama itu akan diganti oleh dua tonggak berpengalaman manakala selebihnya ialah pemain skuad Harimau Muda dan Piala Presiden Kedah.

"Lima pemain tempatan yang bersama kita musim ini akan ditamatkan kontrak dan diganti oleh lima tonggak Harimau Muda serta beberapa pemain dari skuad Piala Presiden.

"Bagaimanapun kami telah mengambil keputusan mengekalkan barisan pemain yang berjaya menjuarai Liga Premier musim ini dan membantu Kedah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Hanya dua pemain daripada pasukan tempatan akan dibawa untuk memantapkan lagi kesebelasan utama yang akan bersaing dalam Liga Super pada musim depan," jelas beliau.

Jeffery menambah, KFA  membuat keputusan untuk tidak melakukan perubahan besar terhadap kesebelasan utama kerana mereka berjaya mempamerkan aksi yang memikat hati pihak pengurusan.

"Setelah melanjutkan kontrak Bang Seung Hwan, Liridon Kraasniqi dan Sandro Da Silva selama semusim lagi kini kami telah mengambil keputusan untuk menjadikan Carlos Kahe sebagai pemain import keempat.

"KFA telah berjaya mengikat kontrak dengan Kahe dan dia dijangka tiba di Alor Setar pada 15 Janurai depan untuk menjalani latihan bersama pasukan Kedah di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe," ujarnya.

Carlos Kahe, 33, atau nama sebenarnya Carlos Eduardo de Souza Floresta yang kini beraksi bersama kelab divisyen dua liga Brazil, Oeste juga adalah bekas pemain skuad B-20 Brazil.

"Dia pernah beraksi bersama Sandro Da Silva di Liga Turki dan pengalamannya di Liga Jerman juga mampu memantapkan lagi serangan pasukan Kedah musim depan setelah kita kecewa pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim.

"Katanya, Sandro yang bakal digandingkan bersama Carlos Kahe pasti tidak akan menghadapi masalah untuk beraksi bersama kawan lamanya dan kehadiran Liridon serta Bang diharapkan dapat membantu barisan pemain tempatan.

Kedah, KFA, Piala Malaysia, Brazil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala Jerman

Artikel Lain