suria

Empat Lagi Pasukan Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia

Pemain Felda United, Christie Jayaseelan (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Selangor Leandro Dos Santos (kanan) ketika perlawanan TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Empat pasukan iaitu Kedah, Felda United, PKNS FC selain wakil Singapura, Lions XII mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas melakar kemenangan pada aksi terakhir kumpulan masing-masing malam Rabu.

Mereka akan mengiringi tiga pasukan lain iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan juara bertahan, Pahang yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke suku akhir.

Dalam aksi kumpulan A, Kedah bangkit daripada ketinggalan 1-2 pada babak pertama kepada JDT II sebelum melakar kemenangan 4-2 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Empat gol Kedah dijaringkan oleh Chidi Edeh pada minit ke-17, Mohd Syazwan Zainon (61'), Muhammad Syafiq Ahmad (69') dan Liridon Krasniqi (76') manakala dua gol JDT II disumbangkan oleh Nicolas Delmonte pada minit ke-24 dan Muhammad Akram Mahinan pada minit ke-27.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, jaringan Christopher Van Huizen pada minit ke-89 membantu Lions XII mencipta kejutan 2-1 ke atas Terengganu pada satu lagi aksi kumpulan A.

Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 1-1 dengan Diyaul Rahman Hasry membuka tirai jaringan untuk Terengganu pada minit ke-14 sebelum Sufian Anuar menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat, selang seminit kemudian.

Felda United pula mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Selangor pada aksi kumpulan C di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sekali gus mengiringi pasukan pelawat yang sudah mengesahkan tiket ke suku akhir lebih awal. 

Tiga gol skuad 'The Fighters' dijaringkan oleh Thiago Augusto pada minit ke-48 dan minit ke-50 selain gol sendiri pemain Selangor, Robert Cornthwaite (65') manakala Shazlan Alias dan Guilherme De Paula menjaringkan gol untuk skuad Gergasi Merah, masing-masing pada minit ke-32 dan sepakan penalti pada minit ke-89.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, pasukan Kelantan menang selesa 3-1 ke atas T-Team namun ia tidak mencukupi untuk membantu skuad kendalian Zahasmi Ismail itu untuk mara ke suku akhir.

Tiga gol Kelantan dijaringkan oleh Austin Amutu pada minit ke-35 dan minit ke-55 selain gol Gilmar Da Silva (40') manakala T-Team merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Tomislav Busic pada minit ke-63.

PKNS FC melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam untuk muncul juara kumpulan D, sekali gus mengiringi Pahang ke suku akhir.

Tiga gol skuad Semut Merah dijaringkan oleh Gabriel Guerra pada minit ke-10, Patrick Ronaldinho Wleh (24') dan Fazli Baharuddin pada minit ke-88.

Pahang pula seri tanpa jaringan berdepan Pulau Pinang di Stadium Darul Makmur, Kuantan namun keputusan itu tidak menggugat kedudukan mereka yang sudah melayakkan diri ke suku akhir.

Sementara itu, perlawanan tunggal kumpulan B antara ATM dan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Pasukan ATM meraih jaringan menerusi Abdulafees Abdulsalam pada minit ke-34 dan sepakan penalti Jerry Palacios (60') manakala gol Sarawak dihasilkan oleh Patrick Gerhardt pada minit ke-16 dan Ryan Griffiths pada minit ke-56.

Sarawak yang menduduki tangga kedua kumpulan hanya perlu mencatat keputusan seri berdepan JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin manakala ATM yang berada di tangga ketiga, perlu mengalahkan Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bagi mengisi slot lapan pasukan terbaik.

Kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung pada 21 November ini. - Bernama

Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain