suria

Najib Rasmikan Persidangan Ke-128 IOC

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Sesi ke-128 Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Khamis malam.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Persidangan ke-128 Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini Khamis malam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden OIC Dr Thomas Bach dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar.

Najib semasa merasmikan acara itu berkata menjadi tuan rumah kepada acara berprestij dan penting itu membuktikan keseriusan Malaysia dalam mempromosikan sukan di dalam negara dan peringkat global.

"Kami mempunyai satu sejarah menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa, seperti Sukan Komanwel 1998 - pertama kali dianjurkan di Asia dan dengan satu rekod dari segi penyertaan negara yang mengambil bahagian, termasuk Malaysia yang menduduki tempat keempat dalam kutipan pingat keseluruhan.

Diharap kami akan melakukan dengan lebih baik lagi apabila menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017," kata beliau.

Beliau berkata, Malaysia melihat ke hadapan untuk menjadi tuan rumah pada acara sukan di sini supaya atlet dan pelawat dari seluruh dunia boleh menikmati kemudahan bertaraf dunia di sini termasuk kepelbagaian budaya dan kelazatan makanannya.

Najib berkata sukan menggalakkan semangat berpasukan dan bersatu hati apabila perbezaan bangsa dan agama hilang sebaik sahaja atlet bersatu dalam mengejar satu matlamat bersama.

Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC dari 28 hingga 30 Julai dan Persidangan ke-128 IOC mulai hari ini sehingga 3 Ogos.

Semasa mesyuarat yang dituruti oleh Persidangan ke-128 IOC bermula esok, delegasi akan membuang undi bagi memilih antara Beijing, China dan Almaty, Kazakhstan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Dalam sesi ke-128, IOC akan menimbangkan lapan sukan untuk ditambah kepada Sukan Olimpik 2020, di Tokyo, Jepun.-- Bernama

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain