suria

Betul Ke Ni? Bayern Tawar Robben, Muller Untuk Tukar Dengan Di Maria

Thomas Muller kononnya ditawarkan kepada Manchester United oleh Bayern Munich sebagai pertukaran dengan Angel Di Maria.

BERITA paling hangat yang berlegar di Jerman sekarang ialah kononnya Bayern Munich telah bersedia menawarkan bukan sahaja penyerang mereka Thomas Muller dan Arjen Robben kepada Manchester United malah wang tunai sebagai tukaran kepada Angel Di Maria.

Berita sensasi ini menjadi bualan ramai apabila akhbar berpengaruh Jerman, Bild menerbitkan spekulasi itu.

Menurut laporan itu, pengurus Bayern, Pep Guardiola adalah peminat pemain Argentina berusia 27 tahun itu dan melihat Di Maria sebagai tunggak utama yang akan menerajui bahagian tengah Bayern musim depan.

Pengurus United, Louis van Gaal mahu membawa Muller kembali di bawah bimbingannya dan United dan Bayern pernah berbincang mengenai kemungkinan Muller berpindah ke United.

Bagaimanapun kedua-dua buah kelab itu tidak dapat mencapai persetujuan dengan yuran perpindahan.

Van Gaal yang pernah mengemudi Bayern Munich sehingga muncul juara liga dan Eropah adalah orang yang bertanggungjawab memberi peluang kepada Muller dalam kesebelasan utama kelab tersebut.

Bild melaporkan, perkembangan terkini ialah, rancangan untuk menawarkan Di Maria kepada Bayern dan Muller kepada United turut melibatkan Bastian Schweinsteiger, yang juga merupakan anak didik van Gaal.

Di Maria yang dilanda kecederaan ketika final Piala Amerika hujung minggu lalu diberi tempoh berehat ekstra oleh United yang kini telah pun memulakan sesi latihan pra-musim mereka sebelum berlepas ke Amerika Syarikat minggu ini.

United menghabiskan £60 juta - rekod baru perpindahan British - untuk mendapatkan Di Maria dari Real Madrid musim lalu.

Prestasinya pada separuh penggal pertama di England adalah memberansangkan sehinggalah dia mengalami kecederaan lutut diikuti oleh insiden rumahnya menjadi cubaan pecah masuk perompak yang telah menjejaskan permainannya selepas itu.

Artikel Lain