suria

Dr Ramlan Tumpu Dua Matlamat Utama Di ISN

Dr Ramlan Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Menjayakan Model Sukan Baharu dan Pelan Strategik Institut Sukan Negara (ISN) 2013–2020 merupakan dua matlamat utama Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz yang dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN untuk tempoh dua tahun akan datang. 

Dr Ramlan yang diberi mandat untuk terus menerajui ISN sehingga Jun 2017, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi tanggungjawab besar kepada ISN dalam menjayakan Model Sukan Baharu terutamanya dalam bidang pendidikan dan latihan. 

"Kita (ISN) berusaha untuk mengukuhkan apa kita sediakan, untuk meningkatkan tahap pencapaian sukan berprestasi tinggi melalui program podium dan perkara lain yang berkaitan secara holistik dan berterusan menerusi model ini. 

"Bagi pelan strategik pula, saya telah fikirkannya sejak saya dilantik kembali pada 2013. Kini kita dah ada pelan itu yang dilancarkan oleh menteri (Khairy Jamaluddin) pada tahun lalu, memberikan kita satu hala tuju lebih mantap dan menyeluruh untuk menjalankan tugas sepertimana dilakarkan dalam Akta ISN 2011," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.  

Ketika pelancaran model sukan itu pada Februari lepas, Khairy berkata ISN akan bertindak merangka, memperinci dan melaksanakan Program Podium iaitu program penyediaan atlet terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih merangkumi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan selain mengambil alih Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) daripada Majlis Sukan Negara (MSN).  

Dr Ramlan berkata ISN yang merupakan sebuah agensi di bawah KBS turut terlibat dalam projek 'talent identifications' iaitu sebuah projek usahasama antara Kementerian Pendidikan dan KBS untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu. 

"Projek usahasama ini bukan sahaja mengenal pasti bakat melalui proses saringan seawal yang mungkin, tetapi juga membina satu laluan untuk pembangunan atlet semasa mereka di bangku sekolah lagi. 

"Program susulannya iaitu pembangunan pelbagai hala akan dijalankan disekolah-sekolah yang dipilih khas dengan kerjasama antara Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan dan ISN," katanya.  

Dr Ramlan, 55, pernah menjawat jawatan berkenaan yang ketika itu dikenali sebagai Ketua Pengarah ISN dari 2007 hingga 2012, sebelum dilantik sebagai Penasihat Sains dan Perubatan Sukan kepada Menteri Belia dan Sukan terdahulu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Beliau kemudian dilantik semula sebagai CEO pada Jun 2013 sehingga 17 Jun 2015, sebelum dilantik semula untuk dua tahun lagi.

Dr Ramlan Abdul Aziz, CEO, ISN

Artikel Berikut

Artikel Lain