suria

Skuad Harimau Kumbang Perlu Lebih Fokus - Jurulatih P.Pinang

Jacksen F Tiago

GEORGE TOWN: Skuad Harimau Kumbang harus perkemaskan hantaran bola dan lebih fokus dalam permainan untuk meraih tiga mata penuh dalam pertembungan dengan SPA Putrajaya FC Isnin depan.

Ketua Jurulatih Pulau Pinang Jacksen F. Tiago berkata hantaran-hantaran anak buahnya masih boleh diperbaiki untuk mengurangkan kehilangan bola kepada pihak lawan.

Menurutnya, selepas berehat selama 40 hari, mereka dilihat mempunyai sedikit peningkatan dari segi keserasian namun mereka harus mempunyai kesabaran dalam membuat hantaran tinggi.

"Saya cuba mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk mengurangkan kesilapan kehilangan bola di tengah padang supaya mereka dapat mengekalkan rentak permainan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam.

Pulau Pinang berjaya meraih tiga mata penuh dengan kemenangan 3-1 melawan SPA Putrajaya FC di Stadium Bandaraya Jumaat malam.

Ketika ditanya tentang permainan penjaga gol, Sani Anuar Kamsani yang banyak membuat kesilapan, Tiago berkata Sani telah hilang fokus dalam minit-minit akhir perlawanan.

"Saya akan cuba berbincang dengan Sani apakah masalah yang berlaku dan tidak menolak kemungkinan faktor pemakanan ketika bulan Ramadan antara penyebabnya," katanya.

Beliau berkata anak buahnya yang beragama Islam terpaksa menukar jadual permakanan dan perkara ini akan menguji psikologi dan fizikal mereka.

"Saya yakin mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan jadual permakanan dan waktu perlawanan baharu," katanya.

Skuad Harimau Kumbang akan lawan SPA Putrajaya FC sekali lagi di Stadium Bandaraya Isnin depan.-- Bernama


Harimau Kumbang, Jacksen F Tiago

Artikel Lain