suria

Misi Mencari Pengganti De Gea

David De Gea menolak tawaran kontrak baharu United dan dijangka berpindah ke Real Madrid.

BEKAS penjaga gol Manchester United, Edwin Van Der Sar memberi amaran kepada David De Gea bahawa pasukan itu mampu mencari penggantinya jika dia memutuskan untuk menyertai Real Madrid.

De Gea dilaporkan akan ke Madrid pada musim panas ini dan pasukan Los Blancos telah menyediakan tawaran sebanyak 25 juta pound untuk mendapatkan khidmatnya setelah dia menolak tawaran baharu daripada United.

De Gea berpindah ke Old Trafford daripada Atletico Madrid dengan bayaran perpindahan sebanyak 18.3 juta pound empat tahun lalu dan menjadi antara pemain utama di United tetapi kini dilihat bersedia untuk menggantikan Iker Casillas sebagai penjaga gol utama Madrid.

Pemain berusia 24 tahun itu dibawa ke United untuk menggantikan Van Der Sar yang yang berkhidmat selama enam tahun di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu dua piala liga serta Liga Juara-Juara (UCL).

Walaupun prestasi De Gea semakin meningkat sehingga dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan United untuk dua musim berturut-turut, Van Der Sar percaya pasukan kendalian Louis Van Gaal itu tidak mempunyai masalah untuk mencari pengganti yang setaraf dengan pemain Sepanyol itu.

"Tiada siapa yang tidak boleh diganti dan itu adalah perkara yang benar.

"Pada permulaan musim anda bermula dengan 11 pemain dan pemain baharu mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri serta melihat bagaimana cara permainan di EPL.

"Tetapi saya percaya United mampu mencari pengganti sekiranya David meninggalkan Old Trafford," kata Van Der Sar.

Van Der Sar, 44, mengakui prestasi De Gea semakin meningkat sejak musim pertamanya di mana dia sering melakukan kesilapan sehingga digugurkan dari kesebelasan utama pada pertengahan kempen.

"Dia mempunyai kesukaran untuk menyesuaikan diri pada musim pertama dan pada musim kedua dia beraksi dengan baik tetapi pada musim ketiga dan keempat telah menunjukkan kepada orang ramai bahawa dia merupakan antara penjaga gol terbaik di Eropah.

"Ketika berpindah ke United, dia masih lagi seorang budak dan kini menjadi lebih matang serta menjadi penjaga gol berkualiti tinggi jadi saya tidak hairan apabila dia menjadi buruan Real Madrid," katanya.

Van Der Sar juga menjelaskan dia tidak tahu siapa yang akan menjadi pengganti sekiranya De Gea memutuskan untuk meninggalkan United.

"Saya juga tidak tahu siapa yang akan menggantikan David sekiranya dia berpindah ke Madrid kerana telah banyak spekulasi yang dibuat sejak akhir-akhir ini tetapi dia patut menandatangani kontrak baharu sekiranya berniat untuk kekal di United.

"David mempunyai tindak balas yang pantas dan prestasinya juga meningkat di United.

"Van Gaal sangat menggemari penjaga gol yang mampu mengawal bola dan Victor Valdes telah menunjukkan kriteria tersebut ketika beraksi bersama Barcelona tetapi dia mungkin mahu mencari kriteria yang berbaza kali ini," kata Van Der Sar lagi.







Artikel Lain