suria

Pemain T-Team Meninggal Dunia Kerana Komplikasi Jantung

KUALA NERUS: Pemain import pasukan T-Team, David Faramola Oniya yang meninggal dunia ketika beraksi semasa perlawanan persahabatan antara Kelantan dan T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu malam, disahkan mengalami komplikasi jantung.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata pihaknya telah berhubung dengan keluarga mendiang dan memaklumkan insiden yang telah menimpa pemain kelahiran Nigeria itu.

Katanya, ketika ini pihaknya juga sedang berhubung dengan pihak Kedutaan Nigeria bagi proses menghantar pulang mayat mendiang untuk disemadikan di negara asal.

"Semua urusan dengan pihak hospital di Kelantan telah selesai dan kita telah berhubung dengan bapanya yang berada di Nigeria dan isterinya di Uzbekistan...dan bapanya meminta supaya jenazah anaknya dihantar pulang ke Nigeria.

"Kita akan menguruskan dengan kadar segera untuk menghantar jenazah Oniya ke negara asalnya. Selain itu, kita juga akan menanggung sepenuhnya kos penghantaran dan sebagainya berhubung pemain itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini sebelum beliau bersama-sama kumpulan Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) berlepas ke Sabah bagi membantu penduduk terjejas akibat gempa bumi.

Dalam aksi perlawanan persahabatan malam tadi, pemain berusia 30 tahun itu tiba-tiba jatuh pada minit ketiga perlawanan dan dibawa oleh pasukan paramedik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kelantan.

Bagaimanapun kira-kira pukul 10.05 malam, pemain pertahanan pasukan itu disahkan meninggal dunia selepas beberapa ketika menerima rawatan dan tidak lama kemudian, perlawanan persahabatan itu dihentikan pada minit ke-60 oleh pengadil Ku Alauddin Ku Muhammad sebaik mendapat tahu mengenai berita kematian pemain itu.

Rozi yang mewakili kerajaan negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas insiden yang berlaku dan ini merupakan kejadian yang pertama menimpa pemain dari pasukan tersebut.

Sebelum menyarung jersi pasukan T-Team musim ini, Oniya pernah bermain bersama kelab Neftchi FK (Fergana) dalam liga Uzbekistan.

Ketika diminta mengulas denda dan hukuman dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Rozi enggan mengulas kerana mendakwa masih belum mendapat maklumat penuh mengenainya.

PBSNT dihukum bermain satu perlawanan tanpa penyokong dan denda RM87,500 akibat tindakan penyokong membakar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 16 Mei.

Terengganu

Artikel Lain