suria

Adam Lallana Yakin Brendan Rodgers Cipta Kejutan

PEMAIN tengah Liverpool, Adam Lallana meluahkan kegembiraannya selepas pemilik pasukan itu mahu mengekalkan khidmat pengurus pasukan, Brendan Rodgers di Anfield.

Pasukan 'The Reds' sekali lagi akan melalui tempoh peralihan selepas menamatkan musim ini di kedudukan keenam dalam Liga Perdana Inggeris(EPL) serta perpindahan kapten pasukan, Steven Gerrard yang akan beraksi di Amerika Syarikat pada musim hadapan.

Walaupun mereka membawa masuk beberapa pemain baru seperti James Milner dan Danny Ings, Liverpool tidak kelihatan seperti pencabar utama bagi merebut kejuaraan liga pada musim hadapan.

Rodgers kini perlu membuktikan sesuatu kepada pemilik pasukan itu dan Lallana gembira apabila Kumpulan Sukan Fenway memberikan satu lagi peluang kepada pengurus kelahiran Ireland itu untuk membuktikan kemampuannya.

"Sudah tentu saya gembira dia masih di sini.

"Pada saya, tiada keraguan yang dia mampu mengendalikan pasukan ini dengan lebih baik pada musim hadapan.

"Kami hampir berjaya mencapai kedudukan empat teratas pada satu ketika dulu tetapi kami terlepas peluang tersebut," katanya.

Bekas kapten pasukan Southampton itu turut menjelaskan, pencapaian Liverpool pada musim 2013/2014 menjadikan harapan ke atas pasukannya itu menjadi semakin tinggi.

"Ini merupakan musim yang sukar bagi kami tetapi kami mempunyai banyak pemain baru dan kami tahu jangkaan orang ramai terhadap Liverpool semakin meningkat selepas mereka hampir berjaya memenangi kejuaraan liga pada musim 2013/2014.

"Rodgers merupakan jurulatih yang hebat dan dia sangat bagus dari segi taktikal.

"Saya akan sentiasa belajar dan para pemain mampu meningkatkan prestasi apabila dia melatih kami," kata Lallana.


Liverpool

Artikel Lain