suria

Masa Depan Hernandez Di United Masih Samar

Javier Hernandez.

PENYERANG Manchester United, Javier Hernandez mengakui dia masih belum pasti sama ada akan terus diberikan peluang untuk beraksi bersama Red Devils pada musim hadapan.

Pemain kelahiran Mexico itu dianggap sebagai pemain lebihan di Old Trafford.

Malah, dia juga dilihat tidak akan diberikan kontrak perpindahan tetap ke Real Madrid, kelab yang pernah diwakilinya secara pinjaman pada musim lalu.

Hernandez jarang diturunkan ketika di Bernabeu tetapi menunjukkan prestasi cemerlang pada dua bulan terakhir musim ini apabila menggantikan Karim Benzema yang mengalami kecederaan.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui perpindahan kelab merupakan isu utama yang difikirkannya.

"Saya selalu memikirkannya kerana ia juga adalah mengenai masa depan saya.

"Saya tidak tahu sama ada saya akan kekal bersama United atau beraksi bersama pasukan lain. Jadi sekarang saya mahu menikmati tempoh cuti saya," katanya.

Hernandez memberitahu, dia juga tidak pasti sama ada dirinya akan menjadi sebahagian daripada perancangan pengurus baru Real Madrid, Rafael Benitez.

"Ancelotti merupakan pengurus saya dan bukannya Rafa. Dia tidak perlu berbincang dengan saya kerana saya hanya dipinjamkan daripada United.

"Tetapi saya tetap tenang kerana saya dapat menunjukkan prestasi cemerlang pada dua bulan terakhir. Ia juga memberikan keyakinan kepada diri dan masa depan saya.

"Saya rasa Rafa mengenali diri saya dan dia merupakan seorang pengurus yang baik jadi saya pasti dia mampu menjalankan tugas dengan baik di Madrid," katanya.

Real mempunyai pilihan untuk mendapatkan khidmat Hernandez secara tetap dengan bayaran 10 juta pound (RM57.45 juta) tetapi dilihat bersedia melepaskan peluang itu.

Artikel Lain