suria

Berita Sedih Buat Sunderland: Dick Advocaat Enggan Teruskan Kontrak

SELEPAS berjaya menyelamatkan Sunderland daripada tersingkir ke liga bawah, Dick Advocaat mengumumkan bahawa dia tidak berhasrat untuk meneruskan tugas sebagai pengurus musim depan.

Kata Advocaat, dia telah berjanji dengan isterinya bahawa komitmennya bersama Sunderland hanyalah untuk baki sembilan perlawanan terakhir musim ini dan bukan musim depan.

Advocaat menyertai Sunderland pada bulan Mac mengantikan Gus Poyet yang dipecat selepas setahun setengah mengendalikan kelab tersebut.

"Saya mahu terus berada di sini (Sunderland) tapi saya telah pun berjanji dengan isteri saya bahawa ini adalah tugas saya yang terakhir dan akan kembali ke Belanda," ujarnya.

Sepanjang mengendalikan sembilan perlawanan terakhir Sunderland, Advocaat telah berjaya mengutip 12 mata - menang tiga kali, seri tiga kali dan kalah tiga kali - sekaligus menyelamatkan kelab itu daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

Pemilik Sunderland, Ellis Short dan Pengarah Bolasepaknya, Lee Congerton cuba memujuk Advocaat dengan menawarkan satu pakej yang menarik tetapi nampaknya ia masih gagal mengubah pendirian jurulatih dari Belanda itu.

Sebaliknya Advocaat, 67, memaklumkan yang dia tidak lagi berhasrat untuk meneruskan tugas ini musim depan kerana telah pun berjanji dengan isterinya.

Dengan keputusan Advocaat untuk tidak meneruskan khidmatnya itu, Sunderland kini terpaksa mencari seorang lagi pengurus untuk mengendalikan skuad mereka musim depan dengan penolong jurulatih Real Madrid, Paul Clement sebagai calon utama dan bekas pengurus Derby County, Steve McClaren sebagai seorang lagi calon alternatif.

Sunderland

Artikel Lain