suria

KBS Wujudkan Makmal Doping

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan akan mewujudkan makmal anti-doping baharu berpusat di Bukit Jalil, dalam masa dua tahun.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata makmal berkenaan memerlukan kelulusan akreditasi daripada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) terlebih dahulu sebelum memulakan operasi.

"Kelulusan akreditasi itu mungkin mengambil masa tiga tahun. Sebaik sahaja makmal tersebut diwujudkan, WADA akan membuat tinjauan dan beri kelulusan kepada kita untuk mula operasi.

"Kami perlu memastikan sebaik sahaja kami menubuhkan makmal itu, WADA berpuas hati dan kami akan mendapat akreditasinya. Kita ada peruntukan untuk selenggara makmal. Kalau sekarang menjalankan ujian doping, kita perlu berbelanja kira-kira US$200 setiap sampel, kemudian nanti kosnya hanya RM200," katanya.

Khairy berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Anti-Doping yang julung kali dianjurkan oleh Institut Sukan Negara (ISN), di sini, Selasa.

Khairy berkata pihaknya bukan sahaja mahu mewujudkan makmal yang boleh menjalankan ujian terhadap atlet negara tetapi mempunyai keupayaan menerima dan membuat ujian keatas sampel dari seluruh dunia.

Katanya, bermula tahun ini, WADA akan menggunakan kod undang-undang baharu dimana atlet akan digantung dari sebarang aktiviti sukan selama empat tahun jika disabitkan positif ujian doping.

Sebelum ini WADA menetapkan penggantungan selama dua tahun kepada atlet positif doping.

Dalam perkembangan lain, Khairy juga turut mengumumkan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan menjadi badan bebas, dijangka bermula akhir tahun ini.

"Adamas tidak lagi menjadi badan dibawah naungan ISN, terutamanya dari segi pentadbiran. Ia akan menjadi agensi pemantau dan penguatkuasa isu doping. ISN selaku badan yang merawat atlet tidak boleh terlibat langsung dalam Adamas," katanya.

Sementara itu Ketua Unit Adamas, Nishel Kumar berkata apabila agensi tersebut bergerak secara bebas, proses penyiasatan serta ujian doping dapat dilakukan dengan telus dan cepat.

"Kalau timbul isu atlet positif doping, kita lihat kesalahan akan diletakkan kepada ISN. Apabila Adamas menjadi badan bebas, setiap penyiasatan dapat dilakukan dengan lebih telus dan pemantauan juga menyeluruh.

"Peraturan baharu yang dikeluarkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) juga menyatakan setiap pihak yang terlibat termasuk individu dalam persatuan boleh dikenakan tindakan. Adamas juga boleh mengambil tindakan kepada pegawai ISN sekiranya mendapati terlibat," katanya.

Nishel berkata kos bagi penyediaan kelengkapan untuk makmal baharu itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM18 juta.

Malaysia pernah mewujudkan makmal anti doping yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada tahun 1998 namun pada 2010 makmal tersebut terpaksa dihentikan operasi kerana tidak menepati akreditasi yang ditetapkan WADA.

Makmal Doping, KBS

Artikel Berikut

Artikel Lain