suria

LRT Tambah Perkhidmatan Sempena Final Piala FA Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL akan menambah frekuensi perkhidmatan bagi Laluan Ampang sempena perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bagi menampung jangkaan jumlah tinggi penonton ke Stesen LRT Bukit Jalil, LRT Rapid KL akan menyediakan 24 buah tren dengan setiap satu mempunyai enam gerabak berbanding 12 buah tren pada hari Sabtu.

Menurut Ketua Operasi LRT Rapid KL Laluan Ampang, Mohd Rahimi Ahmad, kapasiti sebuah tren dengan enam gerabak mampu menampung sebanyak 1,000 penumpang serta waktu perkhidmatan akan dilanjutkan.

"Memandangkan keadaan trafik dijangka sesak di sekitar kawasan stadium pada hari perlawanan, penyokong disaran memudahkan perjalanan mereka ke stadium dengan menggunakan perkhidmatan LRT," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Kelantan akan menentang wakil Singapura, Lions XII pada final itu.

"Saya juga menyarankan penumpang menggunakan Kad MyRapid, yang akan memberikan perjalanan mudah dan cepat untuk keluar masuk stesen, ataupun membeli tiket pergi balik," katanya.

Mohd Rahimi juga mencadangkan penonton untuk meletak kenderaan mereka di kawasan di kawasan 'parkir dan gerak' (Park  and  Ride) seperti di Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Gombak dan Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Ampang sebelum meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan LRT.

"Mereka juga boleh menggunakan kemudahan sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bandar Tasek Selatan dan Sungai Besi, yang terletak berdekatan dengan stesen-stesen LRT Rapid KL," katanya.

Bagi penonton yang menggunakan perkhidmatan kereta api, beliau  menyarankan mereka menggunakan perkhidmatan KTM Komuter ke Bandar Tasek Selatan dan kemudian menyambung perjalanan dengan perkhidmatan LRT Rapid KL ke Bukit Jalil.

Lebih 80,000 penonton dijangka membanjiri stadium berkenaan pada final itu.-- Bernama


LRT, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Lain