suria

Laura Sekat Nicol Raih Gelaran Keenam Terbuka British

Nicol Ann David.

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David tidak berjaya dalam misi memburu gelaran keenam Terbuka British 2015 apabila gagal mara ke final di Arena Airco, Hull, England, Sabtu.

Dalam perlawanan separuh akhir, ratu skuasy negara itu kalah 3-2 kepada pemain tuan rumah, yang juga pilihan ketiga kejohanan, Laura Massaro dalam saingan sengit selama 77 minit.

Nicol, selaku pilihan utama, memulakan saingan dengan langkah kanan apabila memenangi dua set pertama 11-4 dan 11-9.

Bagaimanapun, pemain berpengalaman dari England itu mula mendapatkan rentak dan bangkit semula untuk memenangi tiga set berikutnya dengan 11-9, 12-10 dan 11-8.

Sebelum ini, seorang lagi wakil negara, Delia Arnold, turut mengalami nasib sama apabila tumpas 11-3, 11-7 dan 11-6 kepada pemain Perancis, Camille Serme dalam satu lagi pertarungan separuh akhir.

Sebagai rekod, Nicol menjuarai Terbuka British sebanyak lima kali iaitu pada 2005, 2006, 2008, 2012 dan 2014.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain