suria

Ragbi: Malaysia Rangkul Juara ARC, Layak Ke Divisyen Satu

Pasukan Malaysia bersorak kegembiraan bersama piala yang dimenangi selepas menang dalam perlawanan akhir menentang Thailand dalam Kejohanan Ragbi Asia 2015 (ARC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu. Malaysia layak ke Divisyen Satu ARC 2016.Foto: BERNAMA

PETALING JAYA: Malaysia muncul juara Divisyen Dua Kejohanan Ragbi Asia (ARC) selepas membenam Thailand 53-7, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Sabtu.

Pasukan kebangsaan yang melakar kejutan selepas menewaskan pasukan pilihan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 20-19 pada Rabu lepas, sekali gus mendapat peluang untuk kembali beraksi pada Divisyen Satu, tahun depan.

Malaysia, menewaskan Taiwan 46-13 pada perlawanan pertama Ahad lepas, mengumpul 17 mata untuk menjuarai kejohanan tersebut.

Pada aksi hari ini, skuad 'Malaysian Tigers' bermula cemerlang apabila mendahului 7-0 pada minit kelima menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahidan Mohd Zain dan disusuli 'try' pertama pasukan negara pada minit kelapan menerusi Amirul Sani.

Malaysia kelihatan selesa dengan mendahului 15-0 apabila Shahidan sekalilagi berjaya menambah mata melalui 'conversion' dan juga 'try' yang dilakukan oleh Nurazman Ramli pada minit ke-22.

Pada akhir separuh masa pertama, Malaysia mendahului 27-7.

Pada separuh masa kedua, pasukan negara bertindak garang apabila berjaya melakukan empat 'try' melalui Amirul Sani (minit ke-45), Vatimio Rabebe (minitke-51), Amirul Mukminim (minit ke-66), Etonio Vaqa (minit ke-71) dan tiga 'conversion' yang disempurnakan oleh Sae Faalupega bagi melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia, 53-7.

Pemain Thailand, Warongkom Khamkoet dinobatkan sebagai pemain terbaik keseluruhan pada kejohanan yang diadakan secara liga itu.

Jurulatih negara, Lee Nyuk Fah berkata skuad kendaliannya akan beraksi pada Piala Crescent pada dari 6 hingga 14 Jun ini di Melaka sebelum membuat persiapan selama lapan hingga sembilan bulan untuk menghadapi saingan Divisyen Satu tahun hadapan.

"Kebanyakan pemain hari ini memang pemain muda, kebanyakannya berusia 19 dan 20 tahun. Pendekatan taktikal hari ini adalah berlainan dengan aksi lebih rapatdan mantap untuk melepasi benteng pertahanan Thailand," katanya.

Mengenai saingan Divisyen Satu melibatkan Kazakhstan, Filipina dan Sri Lanka, katanya beliau mungkin akan memanggil pemain profesional negara yang bermain di luar negara seperti di liga Jepun.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di Divisyen Satu adalah pada 2011 selepas mendapat peluang untuk beraksi pada divisyen itu pada tahun 2009.

ARC, Ragbi, Malaysia juara, Divisyen 2

Artikel Lain