suria

F1: Red Bull Lalui Musim Sukar

PASUKAN Red Bull menghadapi musim buruk apabila gagal merapatkan jurang mata dengan pasukan-pasukan di kedudukan teratas seperti Mercedes, Ferrari dan Williams.

Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner berkata pasukannya seperti tidak bertanding pada musim ini selepas menunjukkan prestasi buruk dalam beberapa perlumbaan.

"Ia bukanlah perlumbaan yang menyeronokkan bagi kami seperti hari ini (Grand Prix Sepanyol) kerana pelumba hanya memandu jentera dan seperti tidak berlumba.

"Kami mahu kembali ke prestasi cemerlang dan apa yang mengecewakan ialah kami tidak boleh bertindak sendiri dan perlu bergantung kepada rakan kongsi kami," kata Horner.

Bagi musim ini, keputusan terbaik yang berjaya dicapai oleh pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo adalah berjaya menduduki tempat keenam dalam dua perlumbaan.

Horner juga menggesa pasukan Renault untuk memberi fokus dalam memperbaiki prestasi perlumbaan dan meningkatkan lagi kemampuan enjin mereka.

Pengeluar dari Perancis itu menerima kritikan hebat daripada Red Bull berikutan kegagalan mereka untuk menghasilkan enjin yang mampu mencabar pasukan-pasukan utama.

Malang bagi pasukan Red Bull apabila Ricciardo telah menggunakan enjin terakhir dalam peruntukan yang dibenarkan bermakna mereka akan menerima penalti grid bagi baki musim ini.

Horner juga mengakui ini merupakan musim yang mengecewakan tetapi dia mahu pasukannya mempelajari kesilapan ini untuk menjadi pencabar utama pada musim hadapan.

"Kita perlu meneruskan perlumbaan musim ini walaupun terpaksa menggunakan 20 enjin sekalipun kerana adalah lebih baik untuk mempelajari kesilapan dan membuat perubahan pada tahun hadapan.

"Saya rasa mereka sedar mengenai defisit yang dihadapi tetapi persoalannya bagaimana mereka mahu memperbaikinya.

"Mereka mungkin sedang melihat senario yang berbeza dan cuba membuat penyelesaian tetapi mungkin belum menemui arah yang betul jadi saya berharap mereka dapat memperbaiki enjin jentera kerana perkara-perkara berkaitan enjin akan mengambil masa yang lama," katanya lagi.

Red Bull, GP Sepanyol

Artikel Lain