suria

Red Giants Sasar Satu Piala Musim 2015

Penyokong Red Giants mengibarkan bendera negeri sebagai penyuntik semangat kepada pasukan tersebut.
SHAH ALAM: Selangor menyatakan hasrat untuk mengembalikan zaman kegemilangan skuad itu dengan mula mengintai sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2015.

Pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari berkata walaupun tugas berkenaan dilihat berat namun kombinasi pengurusan dan pasukan sedia ada mampu menggapai kecemerlangan tersebut.

Katanya skuad 'The Red Giants' kini mengatur strategi terbaik dalam memastikan pasukan kendalian Mehmet Durakovic itu telah bersedia dalam membuka kempen Liga Super menentang Terengganu pada 7 Februari ini.

"Sasaran kita sekurang-kurangnya dapat bawa pulang satu piala dalam Liga-M musim ini," katanya kepada pemberita selepas sesi pengenalan pemain skuad tersebut di sini Ahad.

Ketika ditanya terdapat sesetengah pihak masih 'kurang senang' dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Amirudin berkata bukan mudah memuaskan hati semua pihak, namun persatuan tetap akan memastikan kecemerlangan pasukan pada musim ini dapat dibuktikan.

Amirudin berkata walaupun kebelakangan ini timbul pelbagai isu dan perkara membabitkan pengurusan FAS, namun pasukan 'The Red Giants' masih mempunyai 80 hingga 90 peratus peminat tegar untuk meneruskan tradisi sokongan skuad berkenaan.

Sementara itu, ketua pasukan Muhammad Shahrom Abdul Kalam berkata tugas mengemudi skuad itu untuk beraksi cemerlang bukan mudah berikutan sejarah yang pernah dilakar sebelum ini sangat gemilang.

Beliau berkata bagi perlawanan Liga Super 2015, tiada pasukan dilihat beraksi sekadar 'cari makan' kerana semua mampu memberi saingan hebat dalam cabaran merangkul piala tersebut.

Bagi pemain tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor berkata beliau optimis dengan prestasinya kini tatkala ditawar jurulatih untuk menyarung jersi bernombor 10, iaitu jersi keramat yang pernah dipakai lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

"Saya lebih bersemangat kerana beraksi untuk negeri kelahiran saya sendiri (Selangor) dan pastinya tiada masalah untuk membawa jersi nombor 10 ini ke dalam padang," katanya.

Senarai Pemain 'The Red Giants' musim 2015:

Penjaga Gol: Muhammad Syamim Othman, Mohd Hamsani Ahmad, Norazlan Razali.

Pertahanan: Robert Cornthwaite (Australia), Mohamad Azmi Muslim, Mohd Shazlan Alias, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, S. Subramaniam, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Azrif Nasrul Haq.

Pemain Tengah:
Andik Vermansyah (Indonesia), Leandro Dos Santos (Brazil), Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Mohd Raimi Md Nor, Mohd Saiful Ridzuwan Selamat, K.
Thanaraj, S. Veenod, Mohd Fittri Shazwan, G. Gurusamy.

Penyerang: A. Thamil Arasu, Ahmad Hazwan Bakri, Guilherme de Paula Lucrecio (Brazil), Abdul Hadi Yahya, Muhammad Afiq Azmi.

Red Giants, Amirudin Shari

Artikel Berikut

Artikel Lain