suria

B16 Tahun: Jurulatih Balachandran Akui Letak Jawatan, Masalah Peribadi

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Bawah 16 Tahun negara, S. Balachandran mengakui telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu lalu.

Balachandran bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai keputusannya itu.

"Saya tidak boleh mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini, ia lebih kepada masalah peribadi.

"Hari ini (Selasa) saya akan bertemu dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Apa-apa keputusan terkini akan diberitahu kelak," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Keputusan mengejut bekas pemain kebangsaan dan Kuala Lumpur ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada peminat-peminat bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi selepas pencapaian cemerlang skuad muda bimbingannya.

Balachandran masih mempunyai kontrak bersama FAM sehingga Disember 2015.

Dua bulan lalu, pasukan bimbingannya hampir melangkah kaki ke Piala Dunia FIFA Bawah 17 Ttahun di Chile 2015, namun terkandas 2-1 pada saingan separuh akhir kelayakan kepada Australia di Stadium Muangthong, Bangkok.

Skuad tersebut mara ke separuh akhir selepas bergelar naib juara kumpulan A di belakang Korea Selatan.

Malah pada Ogos lalu, pasukan muda ini dinobatkan sebagai juara Piala Juara-Juara Asia FAM-Frenz 2014 sekaligus melonjak nama negara dalam saingan peringkat remaja.

Manakala pada tahun 2013, anak buah Balachandran turut mencatat sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran Piala AFF B16 di Myanmar buat julung kalinya.

Bawah 16 tahun, S. Balachandra, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain