suria

Malaysia Minta Penjelasan Punca Penyokong Malaysia Tak Dibenar Masuk Singapura - KJ

Khairy Jamaluddin

SEPANG: Punca tiga rakyat Malaysia tidak dibenarkan masuk ke Singapura bagi menyaksikan perlawanan Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Myanmar pada 23 November lepas tidak diketahui.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pihak berkuasa Singapura memberi alasan itu hak mereka untuk menentukan siapa yang dibenarkan masuk.

"Kita akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengetahui jika individu tersebut mempunyai kes jenayah sehingga tidak dibenarkan memasuki Singapura," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di sini, Isnin.

Beliau telah mengutus surat kepada pihak berkuasa Singapura bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Katanya, selepas ini pihaknya akan menghantar nota susulan untuk mengetahui punca tiga individu itu tidak dibenarkan memasuki Singapura serta panduan untuk memasuki negara tersebut bagi menyaksikan sebarang kejohanan pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, seorang daripada tiga individu terbabit turut tidak dibenarkan memasuki Singapura bagi menyaksikan perlawanan antara Singapura dan Malaysia Sabtu lepas.

"Kes ini tidak termasuk segelintir penyokong yang sebelum memasuki Singapura ditahan dan ditanya pelbagai soalan," tambahnya.

MoU tersebut adalah sebahagian Program Transformasi IKBN bagi membuka kebolehpasaran kerja kepada pelatih institusi itu.

Khairy berkata melalui perjanjian tersebut Petronas akan memilih pelatih yang berkelayakan bagi mengikuti program latihan di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep).

"Selepas berjaya mengikuti latihan di INSTEP, pelatih IKBN bukan hanya mempunyai sijil kemahiran tetapi sijil Program Teknologi Petroleum 1 (PTP 1) yang melayakkan mereka untuk bekerja dalam bidang minyak dan gas seterusnya menjana gaji yang lebih lumayan," katanya.

Katanya, antara syarikat korporat lain yang telah menandatangani perjanjian dengan IKBN ialah Samsung, Tan Chong Motor Holdings Berhad serta Tune Hotel.


Artikel Berikut

Huru-Hara Di Valencia

Artikel Lain