suria

AFF Suzuki: Safee Ucap Terima Kasih Kepada Dollah

SINGAPURA: Penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, Dollah Salleh kerana memberi kepercayaan kepadanya.

Safee yang berhadapan kemarau gol berpanjangan dengan pasukan kebangsaan akhirnya menjaringkan gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Singapura ketika perlawanan akhir Kumpulan B Piala AFF Suzuki Sabtu lalu.

Kemenangan itu membawa pasukan Malaysia mara ke separuh akhir.

Kali terakhir pemain gempal itu menjaringkan gol untuk Malaysia adalah ketika pasukan kebangsaan tewas 3-2 kepada Canberra XI dalam perlawanan persahabatan pada 16 Jun tahun lepas.

Sehali sebelum perlawanan menentang Singapura, penyerang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut diselubungi kontroversi apabila perbuatannya merokok di sebuah restoran di republik itu dirakamkan.

Bagaimanapun pemain berusia 30 tahun itu berjaya membanggakan Malaysia apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-60.

"Saya berasa gembira berjaya menjaringkan gol. Ia adalah satu kelegaan yang besar yang akhirnya dapat membantu negara memenangi perlawanan itu.

"Saya lari memeluk jurulatih Dollah Salleh selepas menjaringkan gol tanda terima kasih kepada beliau kerana mempercayai saya," katanya.

Selain itu penyerang veteran, Indra Putra Mahayuddin yang menjaringkan gol ketiga Malaysia pada perlawanan Sabtu lalu berkata, mereka berhak untuk menang.

"Semua orang bekerja keras dalam perlawanan itu...kerja berpasukan adalah kunci di sebalik kemenangan itu," katanya.

Artikel Sebelum

Huru-Hara Di Valencia

Artikel Lain