suria

Raja Muda Perlis Lawat Ibu Pejabat Fifa

ZURICH: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang kini dalam rangka lawatan kerja yang padat di Switzerland melawat ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di sini, Jumaat.

Baginda yang diiringi puteri kedua Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Mohd Fo'ad Sakdan disambut Timbalan Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam FIFA Alexander Koch.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP berada di Switzerland sejak Khamis lalu bagi mengetuai delegasi universiti itu yang mengadakan Program Jelajah Ilmu ke-10 di Switzerland.

FIFA yang diwujudkan pada 1904 dianggotai 209 persatuan bola sepak daripada seluruh dunia.

Sempena lawatan itu, baginda diberi taklimat mengenai perjalanan FIFA oleh Koch serta dibawa melawat ke seluruh bahagian ibu pejabat itu termasuk surau bagi kemudahan tetamu beragama Islam.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga peminat sukan bola sepak pernah bermastautin di Zurich selama empat tahun sehingga 2002 ketika berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah untuk Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan lawatan ke ibu pejabat FIFA itu, bukan kali pertama.

Sementara itu baginda dan Sharifah Farah Adriana diiringi Konsul Kehormat Malaysia di Basel Datuk Jeffery Sandragesan meluangkan masa menyaksikan perlawanan bola sepak peringkat kumpulan bagi Piala Liga Juara-juara antara FC Basel dan Real Madrid di Stadium St. Jakob, Basel.

Pertandingan itu menyaksikan Real Madrid menang 1-0 dengan gol disumbangkan bintang bola sepak terkenal Cristiano Ronaldo.

Fifa, Zurich

Artikel Lain