suria

Piala AFF Suzuki: Vietnam Iringi Filipina Ke Separuh Akhir

SINGAPURA: Vietnam mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 selepas menumpaskan Filipina 3-1 pada aksi terakhir kumpulan A di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, malam Jumaat.

Keputusan itu menyaksikan tuan rumah bersama Singapura itu, merampas kedudukan teratas daripada Filipina, yang sebelum perlawanan itu sudah pun mengesahkan tiket ke separuh akhir. 

Naib juara 2010, Indonesia pula melakar kemenangan selesa 5-1 ke atas pasukan tangga tercorot, Laos dalam satu lagi aksi kumpulan A di Stadium Hang Day, Hanoi.

Vietnam, juara edisi 2008, bakal berdepan naib juara kumpulan B, manakala Filipina yang menduduki tangga kedua kumpulan A, berdepan juara kumpulan B pada peringkat separuh akhir. 

Perlawanan separuh akhir akan dijalankan mengikut format timbal balik, iaitu separuh akhir pertama pada 6 dan 7 Disember, manakala separuh akhir kedua pada 10 dan 11 Disember.

Juara bertahan, Singapura mengetuai saingan kumpulan B bersama-sama tiga pasukan lain iaitu Malaysia, Thailand dan Myanmar.

Thailand yang muncul juara tiga kali pada 1996, 2000 dan 2002, sudah mengesahkan slot ke separuh akhir selepas mencatat dua kemenangan ke atas Singapura dan Malaysia.


Piala AFF Suzuki, Filipina, Vietnam

Artikel Sebelum

Jadual Piala AFF Suzuki

Artikel Berikut

Artikel Lain