suria

Aksi Getir Berdepan Singapura Penentu Nasib Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya melawat sambil melihat kualiti padang Stadium Nasional Singapura di sini hari ini menjelang perlawanan terakhir kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014. 
Perlawanan terakhir bagi skuad Harimau Malaya menentang Singapura di stadium tersebut Sabtu ini diharapkan dapat menebus maruah skuad itu yang tewas kepada Thailand 3-2 Rabu lepas. 
-- foto BERNAMA.
SINGAPURA: Misi skuad Harimau Malaya pada Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014, bakal ditentukan pada aksi terakhir kumpulan B berdepan juara bertahan, Singapura di Stadium Nasional di sini, malam esok.

Kemenangan ke atas tuan rumah bakal menjamin tempat ke separuh akhir dan andainya kecundang bermakna cabaran skuad kendalian Dollah Salleh pada edisi ke-10 kejohanan itu, akan berakhir.

Prestasi mengecewakan dalam dua perlawanan sebelum ini, berdepan Myanmar dan Thailand, mengecewakan penyokong bola sepak negara yang masih dahagakan kejayaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa selepas kali terakhir Malaysia muncul juara kejohanan itu pada 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.

Keputusan seri tanpa jaringan bertemu Myanmar pada aksi pembukaan di Stadium Jalan Besar, Ahad lepas sebelum kalah 2-3 kepada Thailand di venue sama dua hari lepas, menyebabkan Malaysia terpaksa menempuh laluan sukar pada kejohanan kali ini.

Dollah perlu merencanakan strategi terbaik untuk menumpaskan Singapura di bawah kendalian jurulatih dari Jerman, Bernd Stange, yang hanya memerlukan seri untuk mara ke separuh akhir.

Kemenangan 4-2 ke atas Myanmar di Stadium Nasional, Rabu lepas, menghidupkan kembali peluang Singapura yang kecundang 1-2 kepada Thailand pada aksi pembukaan di venue sama, Ahad lepas.

Berdasarkan rekod pertemuan antara Malaysia dan Singapura pada kejohanan itu yang mula diperkenal pada 1996, adalah seimbang dengan kedua-dua pasukan masing-masing mencatat tiga kemenangan, manakala bakinya berkesudahan dengan seri.

Skuad Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah keupayaan Singapura yang sudah tentu mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka di halaman sendiri.

Berdasarkan laporan media tempatan, sebanyak 65 peratus tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut terjual dan ia dijangka bertambah laris menjelang pertemuan epik dua pasukan berjiran itu.

Beraksi buat pertama kali di Stadium Nasional Singapura pada kejohanan kali ini, dijangka memberi kesukaran kepada skuad negara, selain sebelum ini mereka juga tidak dibenarkan menjalani latihan di gelanggang berkenaan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), kononnya bagi menjaga kualiti padang.
 
Malaysia perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang dilihat menjadi punca kemerosotan dalam dua perlawanan sebelum ini, iaitu kesilapan barisan pertahanan pada saat-saat akhir, kurang sokongan di bahagian tengah selain lambat mengekang serangan pantas pihak lawan.

Malaysia seharusnya memanfaatkan ketiadaan tiga tonggak utama Singapura untuk meraih kemenangan berharga bagi memastikan mereka dapat meneruskan cabaran pada kejohanan kali ini.

Singapura bakal terlepas khidmat Shahdan Sulaiman yang retak buku lali, Ismadi Mukhtar yang cedera pangkal paha selain Baihakki Khaizan yang digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.

Hanya kemenangan ke atas Singapura dapat membalas semula sokongan padu penyokong bola sepak negara yang tidak berbelah bagi dan sanggup menyeberangi negara Republik itu untuk melihat kejayaan bola sepak Malaysia.
Piala AFF Suzuki, Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala AFF Suzuki 2014

Artikel Lain