suria

Piala Axiata: Malaysia Kalahkan Asia All Stars

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara terus mempamerkan persembahan mantap apabila menewaskan Asia All Stars 3-1 pada aksi kedua pusingan awal Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014 di Bratama Arena, Jakarta pada Jumaat.

Walaupun pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng terpaksa bertungkus lumus untuk memberi mata pertama kepada negara, namun Wei Feng akhirnya mengecewakan pemain Hong Kong, Hu Yun dengan mata 21-18, 15-21 dan 21-16.

Bagaimanapun pemain muda perseorangan wanita kebangsaan Tee Jing Yi terpaksa menerima kekalahan buat kali kedua apabila tewas 19-21 dan 16-21 kepada Tai Tzu Ying dari Taiwan.

Namun mata kedua dan ketiga negara diperoleh melalui pasangann beregu lelaki dan beregu campuran..

Beregu Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong menundukkan pasangan India, Manu Attri dan Sumeeth Reddy dengan mudah, 21-15 dan 21-15.
 
Manakala mata kemenangan pasukan negara diperoleh melalui beregu campuran, Chan Peng Soon dan Lai Pi Jing selepas mengalahkan beregu ke-16 dunia dari Hong Kong, Lee Chun Hei dan Chau Hoi Wah 21-18 dan 21-15.

Pada saingan pertama pusingan awal pada Khamis, Malaysia mengumpul tiga mata selepas menewaskan Vietnam 3-1.

Perlawanan ketiga pusingan awal melibatkan Malaysia dan Indonesia akan diadakan esok bermula 12 tengah hari waktu tempatan.

Kejohanan edisi kali ini masih mengekalkan format sama merangkumi lapan pasukan terdiri daripada enam negara dan dua pasukan jemputan mewakili Asia dan Eropah.

Negara berkenaan ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Thailand.

Perlawanan pusingan awal format liga lapan pasukan diadakan di Jakarta manakala empat pasukan teratas akan layak ke pusingan separuh akhir di Kuala Lumpur pada 6 Dis ini.

Artikel Lain