suria

Piala Axiata: Malaysia Tewaskan Vietnam 3-1

KUALA LUMPUR: Malaysia bermula cemerlang apabila menundukkan Vietnam 3-1 dalam perlawanan pertama pusingan awal Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014 di Britama Arena, Jakarta pada Khamis. 

Pasukan negara menunjukkan mutu permainan memberangsangkan apabila pemain kebangsaan Chong Wei Feng, dengan ranking ke-32 dunia, menewaskan Nguyen Hoang Nam, 21-13 dan 21-17.

Bagaimanapun, pemain muda negara, Ho Yen Mei tidak mampu menampilkan prestasi terbaiknya apabila tewas 21-19 dan 21-13 di tangan pemain ke-51 dunia, Vu Thi Trang.

Mata kedua negara dihadiahkan beregu lelaki Hoon Thien How dan Tan Boon Heong yang terpaksa bekerja keras untuk menundukkan Dao Manh Thang-Le Ha Anh, 21-17 dan 21-18.
 
Kemenangan pasukan Malaysia disahkan beregu campuran Chan Peng Soon-Ng Hui Lin apabila menang 21-16 dan 21-13 ke atas gandingan Duong Bao Duc-Dang Kim Ngan.
 
Perlawanan kedua pusingan awal melibatkan Malaysia dan Asia All Star akan diadakan esok bermula 3 petang waktu tempatan.

Kejohanan edisi kali ini masih mengekalkan format sama merangkumi lapan pasukan terdiri daripada enam negara dan dua pasukan jemputan mewakili Asia dan Eropah.

Negara berkenaan ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Thailand.

Perlawanan pusingan awal dalam format liga lapan pasukan akan diadakan di Jakarta manakala empat pasukan teratas akan layak ke pusingan separuh akhir yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 Dis ini.
Piala Axiata 2014

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain