suria

Bianchi 'Jalani Pembedahan' Selepas Nahas GP Jepun

Jules Bianchi. Foto AFP

PELUMBA Marussia, Jules Bianchi menjalani pembedahan dan berada di dalam keadaan serius selepas mengalami kemalangan pada perlumbaan Formula 1 Grand Prix Jepun, kata bapa beliau kepada stesen televisyen Perancis.

Bianchi mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan yang datang untuk menguruskan sebuah lagi kemalangan membabitkan Adrian Sutil. 

Bapa kepada pelumba Marussia memberitahu France 3 bahawa anaknya itu dalam keadaan "serius" di sebuah hospital dekat Litar Suzuka di Suzuka, Jepun.

Beberapa laporan yang tidak disahkan daripada sumber Autosprint dan Sportmediaset dari Itali mendakwa Bianchi dalam keadaan koma tetapi boleh bernafas tanpa diberikan bantuan pernafasan.

Pelumba pasukan Mercedes, Lewis Hamilton memenangi perlumbaan itu.

Sutil yang merupakan pelumba Sauber yang tidak mengalami kecederaan berkata, kemalangan yang membabitkan Bianchi adalah serupa dengan kemalangan yang dialaminya.

"Kemalangan ini adalah lebih kurang, hanya kesannya berbeza," katanya kepada Sky television.

"Ia (kenderaan) datang untuk menyelamatkan kereta saya dan kemudiannya perkara ini yang berlaku."

Ketua Komunikasi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Matteo Bonciani berkata: "Pelumba itu tidak sedarkan diri dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans kerana helikopter tidak dapat membawanya dalam keadaannya sedemikian."


Jules Bianchi, Grand Prix Jepun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain