suria

Skuad Takraw Negara Gagal Tamatkan 'Badi' Kekalahan

Regu wanita negara ditewaskan oleh pasukan Jepun. Foto KAMARUL ARIFFIN / THE STAR

INCHEON: Episod kegelapan terus menghantui skuad sepak takraw negara di temasya Sukan Asia ke-17 apabila regu lelaki dan wanita gagal mengutip mata pada perlawanan pertama antara regu Kumpulan B di Gimnasium Bucheon, dekat sini, Isnin.

Prestasi tidak menentu regu lelaki negara setelah tewas rubber set 21-14, 16-21 dan 10-21 kepada regu Korea Selatan jelas menunjukan bahawa mereka masih berada di takuk lama dan gagal membawa apa-apa perubahan yang mampu menceriakan peminat sukan tradisi masyarakat Melayu itu. 

Dibarisi Mohd Zamree Mohd Dahan (apit kanan), Mohd Syazreenqamar Salehan (apit kiri) dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dilihat 'cepat sejuk' meskipun berjaya mengutip mata pertama pada set pembukaan.

Nasib yang sama menyelubungi regu wanita negara apabila Nurrashidah Abdul Rashid/Noor Fairuz Azizan/Nor Farhana Ismail menyalahkan keadaan lampu limpah sebagai  punca kekalahan 21-17, 16-21 dan 12-21 kepada regu Jepun.

Ketua jurulatih Jamaluddin Hassan mengakui bahawa regu lelaki gagal persembahkan aksi terbaik dan episod yang sama akan berulang sekiranya layak dan menentang Thailand di separuh akhir kelak.

Selain Malaysia dan Korea Selatan, Kumpulan B terdiri daripada Brunei dan India dan Nepal manakala Thailand, diundi bersama Myanmar, China, Singapura dan Laos dalam Kumpulan A.

"Kami tidak lagi mempunyai pilihan selain memenangi baki tiga perlawanan bertemu Brunei dan India esok dan Nepal pada Rabu ini untuk layak ke separuh akhir.

"Memang kecewa kerana mungkin bertemu Thailand yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan kita, sasaran hendak ke final pun saya sukar nak kata apa-apa buat masa sekarang," katanya.

Kali terakhir sepak takraw antara regu menghadiahkan pingat emas buat negara ialah pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun.

Sementara kapten regu wanita, Noor Fairuz Azizan berkata cahaya lampu stadium yang agak cerah menyebabkan rakan sepasukannya, Nurrashidah Abdul Rashid (apit kanan) gagal membuat rejaman dengan baik. 

"Saya juga kecewa apabila gagal membuat servis dengan baik serta banyak membuat kesilapan.

"Kami benar-benar berharap supaya menewaskan Jepun kerana aksi berdepan Korea Selatan dan Thailand lebih sukar," katanya.

skuad takraw, Sukan Asia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain