suria

Khyril Muhymeen Tamatkan Zaman Bujang

Khyril Muhymeen (kanan) menamatkan zaman bujangnya pada 19 September lalu.
ALOR SETAR: Penyerang pasukan Kedah Mohd Khyril Muhymeen Zambri yang menamatkan zaman bujangnya pada 19 September lepas mengadakan majlis resepsi di sini malam Sabtu.

Majlis itu berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini dihadiri saudara mara, jurulatih, pemain pasukan skuad Helang Merah dan peminat pasukan itu.

Khyril Muhymeen, 27, diijabkabul dengan pasangannya Suryanne Mohd Sukeri, 29, dari Kampung Balok, Kuantan, Pahang pada 19 September lepas dan majlis resepi di rumah pengantin perempuan diadakan pada keesokan harinya.

Suryanne yang bekerja sebagai eksekutif sebuah syarikat automotif di Kuala Lumpur merupakan anak kedua daripada tiga beradik, berkenalan dengan Khyril Muhymeen sejak dua tahun lepas.

Khyril Muhymeen berkata perkahwinannya tidak menjejaskan latihan bersama pasukannya bagi menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia apabila bertemu dengan Kelantan pada 3 Oktober depan.

"Saya akan turun latihan esok (hari ini) kerana komitmen saya dalam pasukan sebagai persediaan untuk berhadapan dengan pasukan Kelantan," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Beliau yang bermain dengan pasukan Kedah sejak 2005 berkata pasukannya kini diterapkan dengan pelbagai teknik dan yakin mampu untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Khyril Muhymeen sebelum ini pernah membantu pasukan Kedah untuk memenangi tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia semusim buat dua musim berturut-turut iaitu pada 2006/2007 dan 2007/2008.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain