suria

Futsal AFF 2014: Vietnam Tewaskan Thailand

Pemain futsal Vietnam, Phung Trong Luan (tengah) meraikan kejayaan selepas berjaya menyumbat gol kedua untuk negaranya ketika bertemu Thailand pada Kejohanan Futsal AFF 2014 di Stadium Melawati, Shah Alam pada Selasa. - fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Vietnam terus menunjukkan taringnya dengan meraih kemenangan keempatnya dalam Kumpulan B Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2014 di Stadium Malawati di sini, Selasa.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Selasa, Vietnam mengejutkan juara bertahan Thailand dengan menewaskannya 2-0 untuk mendahului kumpulan itu dengan 12 mata.

Walaupun berdepan kesukaran untuk 'menjinakkan' Thailand dalam separuh pertama, Vietnam berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Le Quoc Nam pada minit ke-31 disusuli gol kedua oleh Phung Trong Luan pada minit ke-35.

Dengan kemenangan itu, Vietnam akan bertemu dengan Australia, yang berada di tangga kedua Kumpulan A pada Khamis, manakala Thailand akan berdepan Indonesia yang menampilkan persembahan hebat untuk menumpaskan Australia 4-1 bagi mendahului Kumpulan A. 

"Saya gembira dengan prestasi pasukan kerana ini adalah kali pertama kami dapat mengalahkan Thailand. Kita tahu yang Thailand adalah pasukan yang kuat dan mempunyai rekod kejayaan dalam temasya ini.

"Saya mahukan para pemain terus memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Australia pada separuh akhir nanti. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan komitmen dan semangat temasya ini," kata jurulatih Vietnam, Bruno Jose Garcia Formoso.

Thailand pernah menjuarai temasya itu pada 2001, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2012 dan 2013 manakala Indonesia memenanginya pada 2010.

Sementara itu, Malaysia yang menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A dengan enam mata, menamatkan perlawanan kumpulan selepas menewaskan Timor Leste 12-2.

Myanmar, juga di tangga ketiga Kumpulan B dengan enam mata, menjaringkan gol terbanyak dalam kejohanan itu setakat ini dengan membelasah Filipina 20-2.


Vietnam, Thailand, Futsal AFF 2014

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain