suria

Kami Wajib Menang Esok - Nadia

Nadia Abdul Rahman.
INCHEON: Kegagalan meraih kemenangan pertama pada aksi pembuka tirai kumpulan A, apabila kalah tipis 0-1 kepada China selaku juara bertahan Sukan Asia, tidak mematahkan semangat srikandi hoki wanita negara untuk terus memburu mata pertama pada aksi menentang Thailand di Stadium Seonhak, Rabu.

Kapten Pasukan Hoki Wanita Negara, Nadia Abdul Rahman berkata kemenangan pertama menentang negara 'Gajah Putih' itu amat penting buat Malaysia bagi menghidupkan peluang mara ke peringkat separuh akhir seperti yang disasarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini.

"Saya yakin kami mampu meraih kemenangan pertama pada Rabu sekiranya semua barisan pemain dapat mengekalkan persembahan seperti yang dilakukan ketika berhadapan dengan pasukan China Isnin," katanya kepada pemberita Selasa.

Beliau berkata semua rakan sepasukan kini berada pada tahap terbaik biarpun tewas kepada China Isnin.

"Kami masih bersemangat untuk turun padang pada Rabu dan akan menjadikan kegagalan semalam sebagai pembakar semangat dalam misi memburu mata pertama pada Rabu kerana tiada istilah mengalah dalam kamus hidup seorang atlet," katanya.

Nadia berkata beliau berpesan kepada rakan sepasukan dan diri sendiri agar tidak melakukan kesilapan supaya insiden seorang daripada pemain pertahanan negara jatuh pada Isnin tidak berulang.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam perkara ini kerana sesiapa sahaja boleh terjatuh termasuk saya sendiri, namun kami akan cuba untuk kurang lakukan kesilapan," katanya.

Malaysia berada dalam kumpulan A bersama Korea Selatan, China, India dan Jepun.



hoki, Sukan Asia, Nadia Abdul Rahman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Kejohanan Futsal AFF 2014

Artikel Lain