suria

Sukan Asia: Beza Tujuh Mata, Johnathan Wong Gagal Ke Pusingan Akhir

INCHEON: Perbezaan hanya tujuh mata telah menidakkan peluang penembak negara, Johnathan Wong Guanjie untuk menempatkan nama dalam senarai ke pusingan akhir acara 50m Pistol individu lelaki yang berlangsung di Ongnyeon International Shooting Range, pada Sabtu.

Namun, anak muda berusia 22 tahun kelahiran Melaka itu berpuas hati dengan pencapaian hari ini apabila berjaya mencatat rekod peribadi 550 mata sekali gus memperbaharui rekod 548 mata yang dicapainya, dua tahun lepas.

"Ini adalah Sukan Asia pertama saya dan saya gembira dapat buat pencapaian peribadi terbaik. Kalau saya dapat meminimumkan kesilapan saya hari ini, mungkin saya berjaya masuk final. Tapi, apa boleh buat, kesilapan sendiri," katanya yang menduduki tempat ke-18.

Pingat emas acara itu dimenangi penembak India Jitu Rai, diikuti Nguyen Hoang Phuong (VIE) dan Wang Zhiwei (CHN).

Beliau yang akan turun beraksi dalam acara 10m Air Pistol pada Ahad, berkata acara hari ini banyak memberi motivasi kepada beliau untuk melakukan yang lebih baik pada penampilan esok.

"Sebenarnya, apabila berdiri dalam kalangan penembak handalan, mereka banyak mendatangkan motivasi kepada diri sendiri. Selalu fikir, mahu jadi macam mereka juga, itu yang buat lebih semangat," katanya.

Johnathan mula berjinak dalam sukan menembak ini sejak berumur 13 tahun apabila sering mengikut kakaknya Cornelia Wong menyertai latihan dan pertandingan di peringkat negeri.

Katanya, selepas menjalani latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), minatnya terhadap sukan menembak menjadi lebih serius.

Selain Johnathan Wong, dua lagi rakan sepasukan Eddy Chew dan Choo Wen Yen masing-masing menduduki tangga ke-39 dan 43 apabila mengumpul 529 mata dan 526mata.

Sementara itu, Eddy yang ditemui berkata beliau sedikit kecewa dengan hasil tembakan hari ini kerana beliau bermula baik di awal bidikan.

"Saya mula baik, penghujung teruk. Mungkin mata sudah agak penat," katanya yang turut beraksi dalam acara 10m Air Pistol Ahad.

Bagi Choo pula, beliau yakin akan memberi yang lebih baik esok pada aksi yang sama dengan dua lagi rakannya.

"Pada 20 bidikan pertama, hati saya tidak cukup tenang. Selepas itu, baru okay tapi sudah susah untuk kejar mata," katanya.

Dalam acara berpasukan pula, Malaysia menduduki tangga ke-11 selepasmengumpul 1,605 mata.

sukan asia, menembak

Artikel Berikut

Artikel Lain